BELANJAWAN 2025 > BERITA

Inovasi EzBlok Batik Alternatif Blok Tembaga, Lestarikan Seni Warisan Terengganu

10/07/2025 03:12 PM

Oleh Aishah Hani Nor Azmir

KUALA TERENGGANU, 10 Julai (Bernama) -- Penghasilan batik warisan identiti negeri Terengganu menggunakan blok tembaga kini berdepan cabaran berikutan kekurangan pengukir blok tembaga mahir selain kekangan masa dan kos tinggi untuk menempah setiap blok tersebut.

Menyedari situasi itu, Ketua Program Senibina Kolej Komuniti Kuala Terengganu Cawangan Hulu Terengganu Nor Zaini Senik bersama pasukannya tampil dengan inovasi blok batik alternatif dikenali sebagai EzBlok Batik, bagi menggantikan penggunaan blok tembaga tradisional.

“Dahulu batik cop atau batik terap menggunakan blok tembaga, namun kini jumlah tukang blok batik semakin berkurangan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Blok tembaga yang digunakan sekarang pun kebanyakannya adalah blok warisan lama yang dibaik pulih,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Program MADANI Rakyat (PMR) Terengganu di sini, hari ini.

Berbeza dengan blok tembaga yang mengambil masa lama dan kos tinggi untuk dihasilkan, EzBlok Batik menggunakan span kering yang diterapkan dengan motif rekaan komputer, mengikut trend semasa tanpa mengabaikan elemen identiti batik tempatan.

Corak tersebut kemudian dipindahkan ke atas span menggunakan pemotong laser, menjadikannya lebih mesra pengguna, kos rendah dan boleh disiapkan dalam tempoh singkat.

“Inovasi ini dapat menggalakkan lebih ramai pengusaha menghasilkan batik blok dengan corak pelbagai, dan EzBlok Batik juga tahan lama jika dijaga dengan baik,” katanya.

Menurut Nor Zaini, pihak kolej turut menawarkan kursus pendek berkaitan penggunaan EzBlok Batik kepada pengusaha dan pelajar, selain merancang memperkenalkan inovasi itu dari peringkat pra-sekolah hingga ke universiti bagi melestarikan warisan seni batik negara.

EzBlok Batik juga telah menerima perlindungan hak cipta melalui Dana MyIPO 2.0 dan diketengahkan dalam pertandingan inovasi peringkat Politeknik dan Kolej Komuniti melalui Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baharu (KIKHB) tahun lalu.

Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu yang berlangsung tiga hari hingga Ahad ini menyasarkan kehadiran 25,000 pengunjung, sejajar dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat.

Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, program itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM). 

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan