BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dakwaan Muhyiddin Mengenai Kebebasan Badan Kehakiman Tidak Berasas - Kamil Munim

10/07/2025 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang ‘mengoyakkan institusi kehakiman untuk kekal berkuasa’ adalah tidak berasas, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata dakwaan bahawa kebebasan kehakiman terjejas selagi Perdana Menteri menghadapi isu undang-undang peribadi seharusnya perlu dibuktikan serta disandarkan dengan fakta yang konkrit, bukannya tuduhan rambang.

Muhammad Kamil berkata hakikat bahawa seorang Perdana Menteri atau mana-mana individu berjawatan tinggi dihadapkan dengan proses undang-undang sivil sebenarnya adalah petanda kuat kepada kebebasan badan kehakiman

“Ia menunjukkan bahawa tiada sesiapa yang kebal di bawah undang-undang dan prinsip kedaulatan undang-undang ditegakkan. Sistem kehakiman yang bebas akan membenarkan proses undang-undang berjalan tanpa campur tangan eksekutif, tidak kira siapa yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai permohonan Anwar untuk merujuk lapan soalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan prosiding sivil oleh Muhammed Yusoff Rawther, beliau menjelaskan ia adalah hak undang-undang mana-mana individu untuk mencari penjelasan atau tafsiran Perlembagaan.

Muhammad Kamil menyifatkan tafsiran Muhyiddin sebagai dangkal dan gagal memahami perkara asas dalam sistem perundangan negara.

“Tidak patut untuk seorang anggota veteran legislatif negara seperti beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu. Hingga hari ini, tidak ada satu bukti yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri campur tangan atau melanggari mana-mana peruntukan undang-undang yang melibatkan pentadbiran kehakiman.

“Ini adalah naratif jahat yang dirangka dengan cara yang cukup tidak bertanggungjawab dan merupakan retorik politik yang bertujuan menjejaskan kepercayaan awam dan mencetuskan ketidakstabilan,” katanya.

Perbezaan pandangan atau pendapat daripada mana-mana Ahli Parlimen kerajaan tidak boleh ditafsir sebagai hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, tetapi membuktikan kekuatan kerajaan MADANI.

Beliau berkata sepanjang tempoh Kerajaan MADANI mentadbir negara, banyak Ahli Parlimen kerajaan telah memberi pandangan dan pendapat mereka secara terbuka terhadap dasar dan pendekatan kerajaan di dalam pelbagai isu. 

“Itulah bukti nyata kekuatan kerajaan yang memperakukan serta meraikan perbezaan pandangan dalam konteks sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang sebenarnya, jauh beza dengan Muhyiddin yang memilih untuk menutup Parlimen satu ketika dahulu kerana tidak berani berhadapan dengan Ahli Parlimen pembangkang.

“Menghubungkan isu populariti Anwar dengan dasar-dasar seperti peluasan cukai SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) atau kenaikan tarif elektrik dengan dakwaan mengukuhkan cengkaman terhadap institusi juga jauh meleset,” katanya.

Beliau berkata dasar-dasar itu keputusan kerajaan yang dibuat berdasarkan pertimbangan ekonomi dan keadaan fiskal negara, dan ia tidak secara langsung membuktikan niat untuk campur tangan dalam institusi negara.

Semalam, Muhyiddin menerusi kenyataan di Facebook, mendakwa badan kehakiman tidak akan bebas selagi seseorang individu yang menjawat jawatan Perdana Menteri mempunyai isu peribadi membabitkan badan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan