BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hormati Proses Pelantikan Badan Kehakiman Selaras Perlembagaan - PM Anwar

11/07/2025 05:32 PM

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencampuri urusan institusi kehakiman, termasuk soal pelantikan hakim mahupun sebarang keputusan mahkamah, sejak mengambil alih pentadbiran negara.

Beliau berkata dalam proses pelantikan badan kehakiman, perkara itu perlu dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta bidang kuasa yang ditetapkan.

“Saya lebih dua tahun setengah (menjadi Perdana Menteri) tidak pernah campur dalam urusan (pelantikan badan kehakiman) atau keputusan mahkamah.

“Apa yang penting ialah kita patuh pada proses yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas hasrat Badan Peguam Malaysia untuk menganjurkan perhimpunan dan perarakan aman pada Isnin ini, Anwar berkata perkara itu merupakan keputusan pihak penganjur. 

Bagaimanapun, katanya isu mengenai kebebasan kehakiman yang dibangkitkan tellah dijelaskan oleh Peguam Negara (Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) (Datuk Seri Azalina Othman Said), malah Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Perdana Menteri berkata sekiranya terdapat cadangan untuk mengubah mekanisme pelantikan kehakiman, ia perlu dilakukan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Bidang ini (pelantikan badan kehakiman) kita ikut proses yang diamalkan selama ini (Perlembagaan Persekutuan),” katanya.

Badan Peguam Malaysia sebelum ini dilaporkan berhasrat menganjurkan perhimpunan dan perarakan aman yang dijadualkan bermula dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri di sini, bagi menyerahkan memorandum berhubung pelantikan badan kehakiman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan