Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Menteri-menteri luar ASEAN pada Khamis akan mengadakan sesi bersama sembilan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat dan China pada Khamis, dalam Mesyuarat Pasca Persidangan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan.
Selain dua kuasa besar ekonomi itu, mesyuarat juga akan diadakan secara berasingan dengan Australia, Kanada, India, New Zealand, Jepun, Rusia dan Republik Korea bermula 9 pagi.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada Rabu, dalam ucapannya pada majlis perasmian AMM ke-58 berkata ASEAN akan berhubung dengan 11 rakan dialog dalam Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri Luar yang akan datang, sebagai persiapan untuk ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur.
Acara lain pada hari Khamis termasuk Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Switzerland dan Sekretariat ASEAN yang dijadualkan pada 12.45 tengah hari, diikuti Mesyuarat Menteri Kerjasama Mekong-Jepun ke-16.
Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Campur Tiga ke-26 bersama China, Jepun dan Republik Korea akan turut diadakan.
Pada sebelah malam, Mohamad akan meraikan rakan sejawatannya dalam Majlis Makan Malam Gala di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk pertemuan dengan rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektoral.
Mesyuarat peringkat tinggi yang sedang berlangsung di KLCC dari 8 hingga 11 Julai itu, menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi.
Semua menteri luar ASEAN hadir, kecuali Myanmar yang diwakili pegawai kanan kementerian luarnya manakala Menteri Luar Timor-Leste hadir sebagai pemerhati.
Mesyuarat itu antara perhimpunan terbesar menteri luar dan diplomat kanan dari seluruh dunia, diadakan bagi membincangkan isu global dan serantau yang mendesak, memupuk kerjasama dan memajukan agenda keselamatan serta kemampanan dalam ASEAN.
Ini adalah kali kelima Malaysia memegang pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005, dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial