BELANJAWAN 2025 > BERITA

Paramount Property Tawar Mata Ganjaran 'Asia Miles' Untuk Pembeli Rumah

09/07/2025 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Paramount Property Bhd melancarkan Traverse with Paramount, iaitu kempen pemilikan rumah yang unik menawarkan mata ganjaran sehingga 40,000 Asia Miles kepada pembeli rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Property, Chee Siew Pin berkata kempen itu yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Disember, 2025 merupakan kerjasama dengan Cathay Pacific, Hong Kong Express dan lebih 20 syarikat penerbangan rakan kongsi yang lain.

“Bagi pembelian hartanah antara RM300,000 hingga RM800,000, kami akan memberikan kira-kira 10,000 mata Asia Miles kepada pelanggan dan bagi pembelian bernilai RM3 juta ke atas, kami akan memberikan sekitar 40,000 mata.

"Mata ganjaran ini boleh ditebus untuk perjalanan, makanan dan minuman (F&B) di tempat-tempat yang mempunyai kerjasama dengan Cathay, atau bahkan untuk penginapan hotel dalam industri hospitaliti,” katanya pada sidang media di majlis pelancaran Traverse with Paramount yang diadakan di sini hari ini.

Beliau berkata melalui kempen itu, syarikat berkenaan bukan sahaja meraikan detik penting yang mengubah kehidupan bersama para pembelinya, tetapi juga memberi ganjaran kepada pemilik rumah dengan peluang untuk meneroka dunia sama ada di dalam atau di luar negara serta mencipta kenangan yang berkekalan.

Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, syarikat itu berkata dengan lebih lapan pembangunan yang mengambil bahagian merentas lokasi-lokasi strategik di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, Cyberjaya, Sungai Petani dan Pulau Pinang, pembeli rumah berpeluang memperoleh sehingga 40,000 mata Asia Miles dengan satu pembelian, tertakluk kepada terma dan syarat.

Ia berkata untuk meletakkan sesuatu dalam perspektif, penerbangan sehala kelas ekonomi ke Hong Kong melalui Cathay Pacific biasanya memerlukan hanya 9,000 mata Asia Miles.

“Secara keseluruhan, Paramount Property akan menawarkan sebanyak lapan juta mata Asia Miles untuk kempen ini – jumlah ganjaran yang mencerminkan skala dan kepentingan inisiatif ini. Kempen Traverse with Paramount selama enam bulan ini bersedia untuk membawa kegembiraan kepada pemilikan rumah ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Kawasan Cathay untuk Malaysia dan Brunei Robbie Blackwood berkata pembeli juga mempunyai fleksibiliti untuk menggabungkan mata ganjaran dengan wang tunai semasa membuat pembelian.

Ini membolehkan pelanggan menambah dengan wang tunai sekiranya tidak mempunyai mata ganjaran yang mencukupi untuk melengkapkan sesuatu transaksi. Pelanggan boleh menebus mata ganjaran mereka untuk pelbagai jenis produk dan perkhidmatan dengan lebih 10,000 barangan tersedia di kedai Cathay dan pilihan penebusan merentas lebih 20 syarikat penerbangan rakan kongsi.

Beliau berkata Cathay akan memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) bulan depan, menghubungkan para pelancong ke Hong Kong serta ke seluruh Asia Timur, mengukuhkan lagi rancangan pengembangan mereka di rantau ini dengan penerbangan yang sudah pun beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan