KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, Maxis hari ini melancarkan janji jenama (slogan) baharunya, ‘Esok Bermula Hari Ini’, menandakan transformasi yang mencerminkan komitmennya untuk memacu inovasi dan memberi pengalaman digital yang kalis masa hadapan untuk rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata hala tuju slogan baharu itu adalah mesej kukuh kepada individu dan perniagaan untuk mengambil langkah pertama ke arah membina masa depan lebih cerah dengan Maxis yang sentiasa berada bersama mereka pada setiap peringkat.
“Slogan ‘Esok Bermula Hari Ini' ialah misi yang menjelaskan apa kami lakukan di Maxis. Kami menyasarkan untuk memberi inspirasi kepada semua orang untuk meneruskan minat mereka dan membina masa depan mereka dengan penuh keyakinan. Kami akan sentiasa bersama mereka (pelanggan Maxis), menghubungkan mereka pada detik-detik penting," katanya dalam satu kenyataan.
Maxis berkata janji jenama itu akan direalisasikan menerusi beberapa siri kempen dan inisiatif merentas semua titik sentuhan pelanggan, bermula dengan filem diilhamkan berdasarkan kisah benar, mengisahkan seorang pembuat roti yang mengubah minatnya menjadikan perniagaan yang berkembang maju dengan mengambil setiap peluang tersedia.
Syarikat telekomunikasi itu berkata ia kekal komited untuk menyediakan pengalaman digital boleh dipercayai, selamat dan lancar, dikuasakan oleh rangkaian konvergen nombor satunya yang meliputi lebih 95 peratus penduduk.
"Kesalinghubungan bukan sekadar teknologi. Ia mengenai memperkasakan individu, keluarga dan perniagaan untuk mengambil peluang tersedia dan memanfaatkannya pada setiap saat," kata kenyataan itu.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai “Esok Bermula Hari Ini”, lawati www.maxis.com.my/en/about-maxis/tomorrow-begins-today.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial