BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bank Islam Sumbang Barangan Keperluan Asas Kepada Lebih 200 Anak Yatim Di Kota Bharu

09/07/2025 04:13 PM

KOTA BHARU, 9 Julai (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyumbangkan barangan keperluan asas kepada lebih 200 anak yatim di dua rumah kebajikan di sini hari ini menerusi “Program Sambar Sampai Menang - Beli dan Sedekah”.

Pengarah Komunikasi Korporat Kumpulan Bank Islam Rohazida Mohamed berkata program itu membabitkan penyertaan 30 pengamal media daripada pelbagai agensi di negeri ini yang perlu menyelesaikan tugasan membeli-belah pelbagai barangan keperluan.

"Pihak kami akan deposit wang sebanyak RM500 untuk setiap pasukan dan mereka perlu membeli barangan asas seperti minyak masak, beras dan bawang putih berdasarkan soalan teka-teki yang diberikan dalam tempoh 90 minit.

"Jadi barang-barang yang dibeli peserta tadi akan dikumpul untuk diberikan kepada lebih 200 anak yatim di Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM) dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Kelantan (PEKAYATIM)," katanya kepada pemberita selepas Program Sambar Sampai Menang Beli dan Sedekah bersama Pengamal Media Kelantan di Pasar Besar Siti Khadijah di sini hari ini.

Rohazida berkata program ini julung-julung kali diadakan membabitkan pengamal media dan dijangka diperluaskan ke negeri-negeri lain kerana sambutan yang diberi sangat meriah.

"Program ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan barangan yang diperlukan di rumah anak yatim, bahkan secara tidak langsung kita dapat membantu peniaga di pasar ini," katanya.

Pada program berkenaan, pasukan 'Bernamavengerss' dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang dianggotai wartawan Mohd Noor Iqram Rosli dan pembantu tadbir Mohamad Syazwan Mohd Zaki telah memenangi tempat kedua dan membawa pulang hadiah wang berjumlah RM1,400.

Pasukan 'Bintang Bersinar' dari Berita Harian yang diwakili Nor Fazlina Abdul Rahim dan Siti Nor Hidayatidayu Razali dinobat sebagai juara manakala pasukan Nasliza dari Bernama dan Utusan iaitu Noornasrin Salsabila Othman serta pasangannya Rosliza Mohamed meraih tempat ketiga dengan masing-masing membawa pulang wang berjumlah RM2,000 dan RM1,000

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan