KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd, RHB Banking Group dan Public Bank Bhd telah menyemak semula kadar asas standard (SBR), kadar asas (BR) dan kadar pembiayaan asas (BFR) masing-masing berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus hari ini.
Bank Islam berkata ia akan menurunkan SBR, BR dan BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.52 peratus dan 6.47 peratus setahun, berkuat kuasa 10 Julai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata langkah strategik itu dijangka dapat menyokong aktiviti ekonomi dan menawarkan kelegaan kewangan kepada individu dan perniagaan dengan pembiayaan yang dikaitkan dengan SBR, BR atau BFR.
“OPR yang lebih rendah juga membolehkan Bank Islam meningkatkan kapasiti untuk merangsang portfolio pembiayaannya, mengukuhkan libat urus dengan pelanggan sambil mengekalkan kualiti aset.
“Sebagai bank yang dipacu oleh matlamat dan bertanggungjawab, kami melihat pengurangan OPR ini sebagai peluang untuk meneruskan peranan kami dalam memperkukuh daya tahan kewangan, khususnya bagi mereka yang paling terkesan akibat kenaikan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Begitu juga dengan RHB Banking Group yang akan menurunkan kadar SBR, BR dan BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.50 peratus dan 6.45 peratus setahun, berkuat kuasa 10 Julai.
Bank itu juga berkata kadar deposit tetap RHB Bank dan RHB Islamic Bank akan diselaraskan turun sebanyak 25 mata asas.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Bank Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata pengurangan ini mencerminkan sokongan berterusan pihaknya terhadap usaha BNM untuk merangsang permintaan dalam negeri melalui dasar monetari yang akomodatif.
“Dengan mengurangkan kos pinjaman, kami membantu isi rumah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengurus komitmen kewangan mereka dengan lebih baik sambil menggalakkan penggunaan dan pelaburan di tengah-tengah ketidaktentuan global semasa,” katanya.
Sejajar dengan semakan itu, Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank berkata mereka akan menyemak semula kadar rujukan pinjaman dan pembiayaan masing-masing dengan pengurangan sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus, berkuat kuasa pada 11 Julai.
Bank-bank berkenaan akan menurunkan kadar SBR, BR dan BFR masing-masing kepada 2.75 peratus, 3.70 peratus dan 6.56 peratus setahun.
Kadar deposit tetap Affin Bank dan kadar deposit berjangka-i Affin Islamic juga akan diselaraskan turun pada tarikh yang sama.
Sementara itu, Public Bank berkata pihaknya akan menurunkan kadar SBR, BR, BLR/ BRF, masing-masing sebanyak 0.25 peratus, berkuat kuasa 11 Julai, 2025.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata SBR bank ialah 2.75 peratus seiring dengan OPR manakala BR akan dikurangkan kepada 3.27 peratus daripada 3.52 peratus dan BLR/BFR akan dikurangkan kepada 6.47 peratus daripada 6.72 peratus.
"Pada masa sama, kadar deposit tetap Public Bank juga akan diselaraskan menurun, berkuat kuasa pada tarikh yang sama," katanya.
Alliance Bank Malaysia Bhd dan Alliance Islamic Bank Bhd juga mengumumkan penurunan kadar SBR, BR, BLR/BFR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, 3.57 peratus dan 6.42 peratus setahun, berkuat kuasa 15 Julai, selaras dengan penurunan OPR oleh BNM.
“Sejajar dengan semakan itu, Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank juga akan menurunkan kadar deposit tetap mereka pada tarikh yang sama,” katanya.
Maybank juga akan menurunkan kadar BR dan BLR masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dan 6.40 peratus setahun, berkuat kuasa pada 11 Julai, selaras dengan penurunan kadar OPR hari ini.
Bank itu berkata kadar pembiayaan asas Islam akan diturunkan sebanyak 25 mata asas daripada 6.65 peratus kepada 6.40 peratus setahun.
Selaras dengan semakan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaraskan turun sebanyak 25 mata asas, berkuat kuasa pada hari yang sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial