BELANJAWAN 2025 > BERITA

PAFA Keluar Surat Jemputan Untuk 'ikat' Pemain Import

09/07/2025 11:43 AM

IPOH, 9 Julai (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dalam proses menilai beberapa calon pemain import untuk memperkukuh pasukan menghadapi saingan Liga A1 musim ini yang dijadual bermula Ogos depan.

Presiden berkenaan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata pihaknya telah mengeluarkan surat jemputan kepada beberapa pemain luar negara bagi menjalani sesi penilaian selaras dengan peraturan yang membenarkan tiga pemain import didaftarkan dalam Liga A1 Semi Pro anjuran AFL.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan negara asal pemain berkenaan, namun menegaskan hanya mereka yang benar-benar berkualiti dan mampu memberikan impak segera akan dipilih.

“Kita telah kenal pasti beberapa calon pemain import dan mereka akan menjalani ujian penilaian dalam tempoh terdekat. Keutamaan diberikan kepada posisi yang boleh menambah kekuatan pasukan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Azhar berkata The Bos Gaurus kini giat menjalani latihan intensif dengan menggabungkan pemain senior dan pelapis, termasuk pemain Sukan Malaysia (SUKMA) dalam usaha membina keserasian serta kekuatan pasukan.

“Beberapa perlawanan persahabatan telah diadakan menentang pasukan tempatan di Perak sebagai persediaan awal. Dua lagi aksi pemanas badan akan berlangsung menentang Armed Forces FC pada 17 Julai dan Melaka FC lapan hari berikutnya (25 Julai),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata seramai 24 pemain telah menandatangani kontrak bersama Perak dengan tempoh antara satu hingga dua tahun, merangkumi 13 pemain muda bawah usia 20 tahun dan 11 pemain senior.

Beliau berkata sembilan daripada pemain senior itu pernah beraksi bersama Perak FC dalam Liga Super musim lepas sekali gus membawa dimensi kematangan dan pengalaman kepada skuad berkenaan.

Selain itu, penyertaan kali pertama Perak FA dalam Liga A1 bukan sekadar untuk mengisi slot, sebaliknya sebagai pentas membangunkan semula pasukan negeri itu dan menyediakan laluan kepada bakat muda beraksi di peringkat lebih tinggi.

“Sasaran kami dalam tempoh tiga hingga lima tahun, Perak FA mampu kembali ke Liga Super. Dengan semangat, latihan konsisten dan sokongan padu peminat tidak mustahil kejayaan akan dicapai,” katanya.

Pada 16 Jun lepas, Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan sebanyak 16 pasukan mengesahkan penyertaan pada Liga A1 Semi Pro 2025-2026 sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam saingan liga separuh profesional itu.

Pasukan yang bakal bertanding dalam saingan liga semi pro itu ialah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC, Kedah FA, Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University, PAFA, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Guar Syed Alwi (GSA FC), FC Seoul Phoenix, dan UM-Damansara United.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan