BELANJAWAN 2025 > BERITA

SST: Buah-buahan Tempatan Tetap Dapat Sambutan, Dijual Lebih Murah

08/07/2025 01:43 PM

Oleh Razif Rosli

IPOH, 8 Julai (Bernama) -- Langkah kerajaan mengekalkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan tempatan bukan sahaja menerima sambutan baik daripada peniaga dan pengguna, malah boleh mendorong kepada peningkatan permintaan produk berkenaan.  

Tinjauan Bernama di sekitar Tambun mendapati buah-buahan tempatan kekal mendapat permintaan tinggi meskipun di peringkat awal terdapat kebimbangan susulan pelaksanaan SST secara menyeluruh bermula 1 Julai. 

Kadar sifar SST produk buah-buahan tempatan turut memberi kelegaan kepada peniaga dan pengguna yang khuatir terhadap potensi kenaikan harga.

Peniaga Limau Bali Tambun, Tan Swee Kong, 58, berkata pengecualian SST membolehkan buah-buahan tempatan ditawarkan pada harga berpatutan sekali gus menggalakkan lebih banyak pengguna memilih hasil tempatan sebagai sebahagian daripada diet harian mereka.

“Walaupun pada mulanya ada kerisauan apabila SST diumumkan, kami lega kerana kerajaan mengekalkan pengecualian terhadap buah tempatan. 

"Sekarang ini, limau Tambun boleh didapati dengan harga promosi lima biji RM55, sedangkan sebelum ini sebiji dijual antara RM15 hingga RM20 dan berjaya menarik lebih ramai pembeli,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Tan yang mewarisi perniagaan keluarga sejak lebih 60 tahun lepas berkata pengecualian SST turut memberi manfaat kepada pengeluar kerana turut melibatkan barangan input seperti baja, racun dan jentera pertanian.

“Kami bukan sekadar menjual, malah turut mengusahakan kebun sendiri yang menghasilkan jambu batu, belimbing, durian dan rambutan. Ini membolehkan kami mengawal kos dan kekalkan harga berpatutan kepada pelanggan.

“Permintaan meningkat terutama ketika hujung minggu dan cuti umum. Ramai pelanggan dari luar Perak datang ke Tambun untuk mendapatkan buah-buahan segar terus dari ladang,” katanya.

Sementara itu, peniaga Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) di Jalan Tambun, Law Voon Hing, 56, berkata pengecualian cukai memberi kesan langsung terhadap kestabilan harga pasaran yang secara tidak langsung menyumbang kepada keseimbangan bekalan dan permintaan.

“Setakat ini, harga kekal stabil dan itu sangat membantu. Dalam keadaan ekonomi yang sedang meningkat perlahan, kestabilan harga penting untuk kekalkan minat pembeli.

“Permintaan terhadap pisang, jambu batu dan betik masih ada. Cuma cabaran kami sekarang adalah memastikan bekalan cukup untuk menampung permintaan yang boleh berubah mengikut musim,” jelasnya.

Beliau turut berharap dasar cukai sifar terhadap buah-buahan tempatan dikekalkan untuk tempoh jangka panjang bagi merangsang pertumbuhan sektor pertanian dan menambah sumbangan kepada ekonomi negara.

Bagi pengguna, Saiful Nawwab, 62, pengecualian cukai terhadap buah-buahan tempatan disifatkan sebagai langkah yang tepat dan mesra rakyat, apatah lagi dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar.

Beliau berkata buah-buahan tempatan yang tiba musimnya kini menjadi pilihan keluarganya sebagai diet harian mereka seperti pisang. 

“Buah-buahan ialah makanan asas yang sihat dan apabila harga kekal mampu milik, rakyat lebih mudah mengamalkan gaya hidup sihat.

“Malah, buah import seperti seperti epal dan oren yang tidak dikenakan SST juga membantu rakyat membelinya bagi dimasukkan dalam diet harian, "katanya

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan