Oleh Nabilah Saleh
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Krisis yang berterusan di Myanmar dan impak global tarif Amerika Syarikat (AS) akan menjadi tumpuan utama pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang bermula pada Selasa di Kuala Lumpur ketika negara-negara di Asia Tenggara mengharungi ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi.
Dalam persekitaran konflik Israel-Gaza, ketegangan semakin memuncak di Laut China Selatan dan peningkatan dasar perlindungan di peringkat global, ASEAN menghadapi tekanan untuk membina pakatan bersatu (negara-negara bersatu dalam menangani isu) dan melindungi autonomi serantau dalam menghadapi persaingan yang semakin sengit antara kuasa besar.
"Myanmar kekal sebagai isu paling mendesak. Walaupun Konsensus Lima Perkara dan usaha untuk membentuk pakatan bersatu, krisis itu terus mencabar perpaduan ASEAN," kata Perunding Sejarah dan Rakan Kongsi Bersekutu penyeldikan IMAN Dr Rowena Abdul Razak.
Mengulas lanjut, beliau berkata situasi politik Thailand juga mungkin menjejaskan dinamik serantau terutamanya dalam hubungannya dengan Myanmar, Mahkamah Perlembangaan Thailand menggantung tugas Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra baru-baru ini boleh mengubah ibat urus Bangkok dengan Naypyidaw.
Perkembangan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja juga telah menarik perhatian berikutan insiden yang dilaporkan berhampiran kawasan Chong Bok pada akhir Mei lepas, katanya.
Rowena menekankan bahawa cabaran luaran turut timbul terutamanya urus niaga ASEAN dengan AS dan Chin, walaupun blok itu setakat ini mengekalkan berpendirian berkecuali, dasar AS yang sentiasa berubah terus menimbulkan kebimbangan.
"Dasar AS terutamanya mengenai tarif dan Timur Tengah telah menjadi huru-hara dan sukar dijangka. ASEAN mungkin perlu meneroka untuk membentuk rangka kerja bagi menjaga rantau ini daripada ketidakstabilan yang disebabkan oleh perubahan berkenaan.
"Walaupun Malaysia tidak menekankan kesan ekonomi daripada ancaman itu, keadaan itu menyebabkan kebimbangan serantau. AMM mungkin mahu membincangkan langkah-langkah yang melindungi laluan perdagangan utama dan ruang udara daripada gangguan pada masa depan," kata Rowena yang juga pakar dalam Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Pendirian imigresen AS untuk mengetatkan peraturan dan konflik perdagangan yang berlanjutan dijangka ditangani semasa mesyuarat Rakan Dialog ASEAN yang diadakan bersama AMM.
Negara anggota ASEAN akan memantau dengan teliti bagaimana AS mengadakan libat urus dengan rantau ini dalam persekitaran unilateralisme yang semakin meningkat.
Blok itu juga dijangka membandingkan perspektif dengan Rakan Dialog mengenai kebimbangan global yang lebih luas terutamanya perubahan iklim.
"Perubahan iklim mungkin dijadikan sebagai isu utama terutamanya bagi Kesatuan Eropah (EU), yang dijangka bergelut untuk mencari titik persamaan dengan AS," katanya.
Mengenai nuklear, ASEAN dijangka menarik perhatian kerana pendiriannya yang konsisten sebagai zon bebas senjata nuklear, kedudukan dilhat oleh beberapa penganalisis boleh menjadi model dalam diplomasi triti mengenai pengawalan senjata nuklear.
Rowena berkata pengalaman rantau ini dalam menguruskan pengaturan nuklear serantau memberi contoh yang membina ketika kestabilan nuklear global berada di bawah tekanan.
"ASEAN menyediakan model boleh dipercayai mengenai bagaimana rundingan nuklear serantau dan antara kerajaan boleh diuruskan. Kuasa besar termasuk AS harus terbuka untuk belajar daripada pendekatan ini," katanya.
Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan, acara tahunan utama dalam kalendar ASEAN akan dihoskan oleh Malaysia di bawah tema Kepengerusian ASEAN 2025, "Keterangkuman dan Kelestarian".
Perhimpunan yang sangat dinanti-nantikan itu akan menyaksikan salah satu perhimpunan terbesar menteri luar dan diplomat berpangkat tinggi dari seluruh dunia untuk membincangkan isu-isu global dan serantau yang mendesak, memupuk kerjasama dan memajukan agenda keselamatan dan kelestarian di ASEAN.
Lebih 40 menteri luar dan wakil daripada organisasi antarabangsa dijadual menghadiri beberapa siri mesyuarat pimpinan ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai.
Semua menteri luar negara anggota ASEAN akan hadir kecuali Myanmar yang akan diwakili oleh pegawai kanan dari kementerian luar negara itu manakala Menteri Luar dari Timor-Leste akan mengambil bahagian sebagai pemerhati.
Ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN sepanjang sejarahnya sebagai anggota blok serantau itu selepas mempengerusikannya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial