KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Legenda renang negara Nurul Huda Abdullah dilantik sebagai Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di Bangkok, Chonburi dan Songkhla, Thailand.
Nurul Huda, 52, yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baharu akan dibantu tiga Timbalan CDM iaitu Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh, bekas raja pecut Asia Tenggara Nazmizan Muhammad dan bekas pemain hoki kebangsaan Jivan Mohan.
“Pemilihan CDM dan Timbalan CDM dilakukan secara bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan individu dipilih berwibawa dan berpengalaman untuk membimbing kontinjen Malaysia mencapai kejayaan,” menurut MOM dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, MOM yakin barisan kepimpinan yang berpengalaman dan disegani itu dapat menjadi pencetus semangat kepada kontinjen Malaysia untuk mencapai kecemerlangan, mendukung semangat kesukanan serta mengharumkan nama negara di Sukan SEA 2025.
Nurul Huda mewakili Malaysia di Sukan Olimpik 1988 di Seoul, Korea Selatan dan masih memegang rekod sebagai atlet Malaysia dengan kutipan pingat terbanyak dalam sejarah Sukan SEA dengan 32 pingat, terdiri daripada 22 emas, lapan perak dan dua gangsa pada tiga edisi berturut-turut iaitu 1985, 1987 dan 1989.
Beliau juga kekal satu-satunya perenang wanita Malaysia yang pernah memenangi pingat di Sukan Asia dengan masing-masing dua perak dan gangsa di Sukan Asia 1986 di Seoul, malah pernah dinobatkan Olahragawati Kebangsaan selama lima tahun berturut-turut dan diiktiraf menerusi Trofi IOC bertemakan “Wanita dalam Sukan” pada 1987.
Nurul Huda mengikut jejak bekas ratu pecut negara Datuk Marina Chin yang pernah berkhidmat sebagai CDM pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial