BELANJAWAN 2025 > BERITA

ESSZone Sabah Destinasi Selamat, Aman Dikunjungi - Saifuddin Nasution

05/07/2025 06:55 PM

SEMPORNA, 5 Julai (Bernama) -- Sabah khususnya kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) merupakan destinasi yang aman dan selamat untuk dikunjungi pelancong luar negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata bagi memperkukuh persepsi positif serta keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap tahap keselamatan kawasan itu, 15 wakil diplomatik dan pegawai perwakilan asing dari 10 negara telah diberikan taklimat keselamatan serta dibawa meninjau ESSZone hari ini.

"Tahun ini merupakan tahun kedua Kementerian Dalam Negeri bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) membawa diplomat dan perwakilan asing dari Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Ireland, Jerman, Kanada, New Zealand, China, Korea Selatan dan Sepanyol menyertai siri lawatan sehari ke lokasi utama pelancongan di ESSZone.

"Kita melawat Pulau Omadal, Pulau Sibuan, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mataking, tujuannya bagi membolehkan perwakilan asing ini melihat sendiri suasana semasa, memahami konteks keselamatan kawasan yang dilawati sekali gus mereka berpeluang berinteraksi langsung bersama komuniti setempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Taklimat dan Tinjauan Keselamatan Menteri Dalam Negeri Bersama Perwakilan Asing di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata menerusi lawatan itu, perwakilan asing dapat mengenal budaya, mengetahui sejarah dan seterusnya mendapat pencerahan mengenai keunikan lokasi serta tahap keselamatan.

"Kita jemput negara-negara strategik yang pernah mengeluarkan travel advisory ataupun nasihat perjalanan kepada rakyat mereka tentang pantai timur Sabah ini. Pada tahun lalu kita melaksanakan program seumpama ini dan hasil membawa perwakilan negara itu, kita merekodkan kehadiran pelancong tinggi daripada negara berkenaan, jadi kita nampak potensi untuk tingkat angka kemasukan pelancong.

"Terima kasih pada kerajaan Sabah termasuk Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang memberikan kerjasama padu kepada inisiatif Kementerian Dalam Negeri yang menjaga perspektif keselamatan, ini merupakan model kerjasama unik," katanya.

Beliau berkata keberadaan pasukan keselamatan di kawasan ESSZone pada tahap siap sedia sedia tinggi dengan pelbagai operasi dilaksanakan menggabungkan sumber kekuatan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta sokongan risikan dan kerjasama rentas sempadan.

"Hasilnya, kawasan ini kekal stabil, sehingga hari ini, kita suka mengumumkan bahawa tiada sebarang insiden penculikan untuk wang tebusan berlaku sejak 15 Jan 2020 di ESSZone, ini satu pencapaian yang membanggakan.

"Malahan sepanjang tempoh 1 Jan hingga 31 Mei tahun ini, sebanyak 1.08 juta pemeriksaan individu, kenderaan dan bot di ESSZone, dan daripada jumlah itu 153 individu ditahan, 73 kenderaan serta bot dirampas atas pelbagai kesalahan keselamatan," katanya.

Saifuddin Nasution berkata laporan mingguan terkini Perjanjian Kerjasama Serantau Bagi Membanteras Pelanunan dan Rompakan Bersenjata Terhadap Kapal di Asia (ReCAAP) turut menyokong dapatan bahawa tahap ancaman penculikan kru di kawasan Laut Sulu dan Sulawesi diturunkan kepada kategori rendah, berikutan tiada insiden penculikan dilaporkan sejak Jan 2020 itu.

Tambahnya peningkatan tahap keselamatan di ESSZone ditunjukkan secara langsung dengan peningkatan jumlah pelancong saban tahun. 

ESSZone merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan