KUCHING, 5 Julai (Bernama) -- Pertandingan pengekodan seperti BugCrusher Junior Coding Hackathon 2025 yang baru sahaja berakhir berperanan sebagai platform untuk menyemai pemikiran kritis dan kreativiti dalam kalangan pelajar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Datuk Sudarnoto Osman.
Beliau turut berharap agar program inisiatif SDEC dengan kerjasama Realfun Learning Centre serta disokong oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dan Program Pembelajaran Inovasi Komuniti TEGAS (TCIL) itu dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk menjadi pencipta, inovator dan penyelesaian masalah pada masa hadapan.
“Di sini, kita menyaksikan cetusan inovasi apabila minda muda mula menerima logik dan mengatasi kerumitan. Apa yang menjadikan BugCrusher lebih istimewa ialah hubungan erat antara pelajar dan guru yang bekerjasama rapat dalam setiap pusingan dan tugasan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada akhir pertandingan yang berlangsung di Makeramai Makerspace hari ini.
Pertandingan tahun ini adalah edisi keenam dan berlangsung selama empat bulan dari Mac hingga Julai, merangkumi pelbagai peringkat termasuk hackathon secara fizikal, cabaran dalam talian serta bengkel yang dikendalikan oleh guru.
Sebanyak 1,272 peserta terdiri daripada 954 pelajar dan 318 guru mengambil bahagian.
Daripada jumlah itu, 528 pelajar dan 176 guru adalah dari Sarawak, manakala 426 pelajar dan 142 guru mewakili negeri-negeri lain di Malaysia.
Peserta bertanding dalam dua kategori iaitu Junior (10 hingga 12 tahun) menggunakan Scratch, dan Senior (13 hingga 15 tahun) menggunakan HTML/CSS atau Scratch Lanjutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial