NEW YORK, 5 Julai (Bernama-Xinhua) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani rang undang-undang dasar utama beliau, "One Big Beautiful Bill" menjadi undang-undang pada petang Jumaat, lapor Xinhua.
Majlis menandatangani undang-undang di Rumah Putih itu diadakan sehari selepas rang undang-undang berkenaan diluluskan dengan majoriti tipis oleh Dewan Perwakilan pada Khamis. Trump sebelum ini menetapkan tarikh akhir supaya rang undang-undang itu diluluskan sebelum 4 Julai bagi membolehkan majlis penandatanganan diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kemerdekaan.
Undang-undang itu merangkumi dasar utama Trump termasuk pemotongan cukai dan penambahan peruntukan untuk perbelanjaan ketenteraan dan keselamatan sempadan.
Ahli-ahli Dewan Perwakilan daripada kedua-dua parti berbeza pendapat mengenai rang undang-undang itu, yang merangkumi pemotongan besar dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan dan program makanan untuk golongan miskin serta peningkatan perbelanjaan untuk ketenteraan dan keselamatan sempadan, selain pemotongan cukai ke atas pelbagai kategori pendapatan. Rang undang-undang itu dijangka akan menambah hutang negara sebanyak US$3.3 trilion.
Rang undang-undang itu diluluskan di Dewan dengan majoriti tipis 218 berbanding 214, dengan semua anggota Parti Demokrat dan dua anggota Parti Republikan, Thomas Massie dari Kentucky dan Brian Fitzpatrick dari Pennsylvania, mengundi menentangnya.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial