KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Sekumpulan penggiat industri ekonomi gig merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan agensinya susulan penganjuran sesi meja bulat dengan pihak berkepentingan industri pada 1 Julai.
Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka memaklumkan sesi libat urus berkenaan yang diadakan tepat pada masanya, adalah langkah penting pada masa hadapan untuk membina pendekatan kerjasama dalam membentuk masa depan ekonomi gig Malaysia.
“Kami amat menghargai keterbukaan kerajaan terhadap perspektif industri ketika kita bersama-sama meneroka kaedah terbaik untuk mengimbangkan perlindungan kepada pekerja gig dan pada masa sama mengekalkan fleksibiliti, inovasi dan pertumbuhan yang menjadi teras sektor ini.
“Sebagai platform yang secara kolektif menyokong puluhan ribu pekerja gig di Malaysia, kami yakin libat urus yang produktif -- berteraskan sikap saling menghormati dan komitmen bersama terhadap kemajuan -- dapat membantu Malaysia menjadi contoh dalam merangka dasar moden bagi era digital,” katanya.
Penggiat industri berkenaan, antaranya Bolt, FastGig, foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, Lalamove dan ShopeeFood turut gembira dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai penganjuran sesi dialog awam susulan dan berharap mendapat maklumat yang terperinci mengenainya.
Menurut kenyataan itu, sesi libat urus yang berterusan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan adalah penting dalam merangka dasar yang praktikal dan mencerminkan keperluan serta aspirasi sebenar pekerja gig, platform dan penggubal dasar.
“Kita boleh bersama-sama memastikan peralihan yang lancar selaras dengan perubahan dalam dunia pekerjaan di samping memastikan perlindungan kepada pekerja dan pada masa sama menggalakkan pertumbuhan, pemerkasaan ekonomi dan kemajuan teknologi dalam ekonomi digital Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Sesi meja bulat itu dihadiri oleh Ahmad Zahid selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Pengerusi Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial