BELANJAWAN 2025 > BERITA

Scoot Lancar Penerbangan Dua Kali Seminggu Ke Kota Bharu Mulai 26 Oktober

03/07/2025 07:25 PM

SINGAPURA, 3 Julai (Bernama) -- Syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, Scoot akan memulakan operasi penerbangan dua kali seminggu ke Kota Bharu, Kelantan, pada 26 Oktober depan yang menggunakan pesawat jenis Embraer E190-E2 dengan harga tambang sehalanya serendah S$78 (S$1=RM3.3154).

Menerusi kenyataannya hari ini, syarikat itu turut mengumumkan pelancaran perkhidmatan penerbangan baharu ke destinasi Da Nang dan Nha Trang di Vietnam.

Scoot akan mengendalikan penerbangan tiga kali seminggu ke Da Nang bermula 20 Oktober yang ditambah kekerapannya secara berperingkat kepada penerbangan harian menjelang Disember yang menawarkan tambang sehala kelas ekonomi bermula daripada S$115.

Penerbangan dua kali seminggu ke Nha Trang mulai 21 Nov, akan dipertingkat kepada lima kali seminggu menjelang Januari 2026 dengan tambang kelas ekonomi bagi perjalanan sehala serendah S$135.

Tempahan bagi laluan penerbangan baharu itu boleh ditempah mulai hari ini menerusi laman sesawang dan aplikasi mudah alih Scoot serta saluan lain.

“Susulan pelancaran perkhidmatan ke Kota Bharu, Da Nang dan Nha Trang ini, Scoot akan mengendalikan 115 penerbangan mingguan ke 12 bandar di Malaysia dan 44 penerbangan mingguan ke lima bandar di Vietnam,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, Scoot akan melancarkan perkhidmatan ke Medan dan Labuan Bajo di Indonesia serta Okinawa, Jepun pada musim sejuk hemisfera utara 2025.

Selain destinasi baharu itu, Scoot akan turut menyusun semula rangkaiannya dari Julai 2025 bagi memenuhi jangkaan peningkatan permintaan bagi perjalanan udara, termasuk perkhidmatan ke Clark, Davao, dan Manila di Filipina; Jakarta di Indonesia; Hat Yai di Thailand dan Perth di Australia.

Tambang promosi terhad ke destinasi terpilih akan dipaparkan di laman sesawang serta aplikasi mudah alihnya dari 8-13 Julai, 2025.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Scoot Leslie Thng berkata syarikat penerbangan itu akan terus mencari peluang baharu bagi tujuan pengembangannya selain memperluas jejak serantaunya.

“Kami juga teruja untuk memperluas rangkaian Scoot dengan destinasi baharu ini. Pada masa sama, peningkatan kekerapan penerbangan ke beberapa bandar dalam bulan-bulan akan datang menjelang musim cuti hujung tahun, juga bagi menampung permintaan lebih tinggi,” katanya.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan