Oleh Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Selepas 26 tahun, ASEAN kini bersedia menerima anggota baharu pertamanya sejak 1999 apabila Timor-Leste semakin hampir untuk menyertai blok serantau itu sebagai negara anggota.
Penyertaan yang telah lama dinantikan membawa makna yang besar bukan sahaja kepada Timor-Leste, malah kepada seluruh rantau ASEAN yang berdepan dengan landskap geopolitik dan ekonomi yang semakin kompleks.
Kemasukan Timor-Leste dijangka memperkukuh kedudukan strategik ASEAN dan meningkatkan peranannya sebagai pemain utama di pentas global.
Penganalisis politik dari Universiti Nasional Timor-Leste, Prof Camilo Ximenes Almeida berkata keahlian penuh Timor-Leste akan membuka peluang strategik untuk merangsang pertumbuhan ekonomi bersama serta menjamin kestabilan dan kemakmuran serantau.
“Integrasi Timor-Leste mewakili peluang strategik bagi organisasi, bukan sahaja memperkukuh kehadiran geografi ASEAN, malah memperluas potensi hubungan serantau yang lebih mendalam.
“Timor-Leste mampu menyumbang kepada ASEAN yang lebih kukuh dan bersatu dalam menghadapi cabaran serantau serta mendorong integrasi antara negara anggota,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.
Laluan Menuju Keanggotaan ASEAN
Timor-Leste, negara termuda di Asia Tenggara, memohon keahlian ASEAN pada 2011, sembilan tahun selepas mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002.
Walaupun prosesnya panjang dan mencabar, Dili menunjukkan komitmen tinggi dalam memenuhi syarat keahlian yang ketat.
Pada November 2022, ASEAN bersetuju secara prinsip untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 dan memberikan status pemerhati, membolehkannya menyertai mesyuarat dan sidang kemuncak ASEAN.
Dengan populasi sekitar 1.3 juta orang, ekonomi Timor-Leste masih bergantung kepada eksport minyak dan gas, namun sektor pertanian dan perkhidmatan semakin menyumbang kepada hasil negara.
Pada 2024, pertumbuhan KDNK negara itu direkodkan pada empat peratus, berbanding 2.4 peratus pada 2023.
Ximenes turut memuji sokongan padu Malaysia terhadap penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN, termasuk melalui sumbangan kewangan dan bantuan teknikal.
Pada Februari lalu, Malaysia mengumumkan sumbangan sebanyak US$200,000 kepada Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN di Jakarta bagi mempercepat proses keahlian penuh.
Malaysia turut menyediakan latihan teknikal menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), yang melatih 319 pegawai Timor-Leste dalam pelbagai bidang setakat ini.
“Sokongan ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala, malah mencerminkan kepentingan strategik ke arah ASEAN yang lebih inklusif dan representatif,” katanya.
Dinamisme Baharu, Jalinan Lusophony
Ximenes berkata penyertaan Timor-Leste mampu membawa dinamik baharu kepada ASEAN, terutamanya dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini.
Pengalaman negara itu dalam proses perdamaian boleh menjadi inspirasi kepada negara anggota lain termasuk Myanmar, yang masih bergelut dengan krisis dalaman.
Selain itu, keahlian Timor-Leste dapat meluaskan jangkauan ASEAN ke peringkat antarabangsa, khususnya dengan negara-negara berbahasa Portugis di Eropah, Afrika dan Amerika Latin, sekali gus membuka ruang kerjasama dalam bidang ekonomi, politik dan sosio-budaya.
“Dengan warisan sejarah dan budaya yang dikaitkan dengan dunia Lusophony, Timor-Leste menjadi jambatan semula jadi antara ASEAN dan wilayah itu.
“Langkah ini mampu membawa manfaat bersama seperti peningkatan dagangan, pertukaran budaya dan kerjasama dalam bidang pendidikan serta pembangunan mampan,” katanya.
Keahlian penuh Timor-Leste dijangka dimuktamadkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini, tertakluk kepada pematuhan terhadap pelan hala tuju yang ditetapkan.
Pelan hala tuju itu merangkumi tiga pelan tindakan merangkumi isu politik dan keselamatan, kerjasama ekonomi serta hubungan sosial dan budaya yang perlu dilaksanakan sebelum keahlian penuh.
ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 kini mempunyai 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial