BELANJAWAN 2025 > BERITA

Felda Lanjut Tarikh Tutup Tawaran Ambil Alih FGV Kepada 15 Ogos

03/07/2025 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini mengumumkan pelanjutan tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat untuk baki saham dalam FGV Holdings Bhd (FGV), kepada 5 petang, Jumaat, 15 Ogos, 2025 sebagai tarikh kedua dan tarikh tutup terakhir bagi penerimaan.

“Tiada pelanjutan lagi selepas tarikh tutup tawaran itu,” kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dalam satu kenyataan bagi pihak Felda.

Felda telah menghantar dokumen tawaran bagi rancangannya untuk menswastakan FGV Holdings pada 16 Jun, dengan tawaran RM1.30 sen setiap saham dijadualkan, dengan tarikh tutup tawaran pada 5 petang, Isnin, 7 Julai, melainkan ia dilanjutkan.

Setakat hari ini, Felda dan pihak yang melaksanakan langkah pelaburan untuk mencapai matlamat yang sama memegang 3.24 bilion saham FGV, mewakili 89 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat. Mereka mempunyai 3.19 bilion saham atau 87.46 peratus pada tarikh tawaran.

“Pemegang yang masih belum, tetapi berharap untuk menerima tawaran itu dinasihatkan untuk merujuk kepada dokumen tawaran untuk butiran, terma dan syarat tawaran serta prosedur untuk penerimaan tawaran dan mempertimbangkan dengan teliti pekeliling penasihat bebas bertarikh 26 Jun, 2025, sebelum membuat sebarang keputusan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, pada 26 Mei, 2025, Maybank IB bagi pihak pembuat tawaran, menyampaikan notis itu kepada Lembaga Pengarah FGV, memaklumkan hasrat Felda untuk melaksanakan tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat.

FGV yang membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2012 pada RM4.55 sesaham, berjaya memperoleh RM10.5 bilion dalam salah satu tawaran awam permulaan terbesar di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan