BELANJAWAN 2025 > BERITA

Piala ASEAN B-23: Tiada Nama Besar, Tapi Semangat Tetap Membara - Ubaidullah

02/07/2025 05:50 PM

SUBANG JAYA, 2 Julai (Bernama) – Pertahanan muda negara Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menegaskan ketiadaan pemain berprofil tinggi dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara bukan penghalang untuk memburu kejayaan pada Kejohanan Piala ASEAN B-23 2025 di Jakarta, bulan ini.

Menurut pemain berusia 21 tahun itu, walaupun skuad kali ini dibarisi muka baharu dan kurang dikenali, semangat juang serta keinginan untuk mengharumkan nama negara tetap tinggi dalam kalangan rakan sepasukan.

“Memang ada perbezaan besar berbanding skuad sebelum ini yang dibarisi ramai nama besar. Tapi bagi saya, itu bukan masalah.

“Kami mungkin belum dikenali, tapi semangat kami tetap tinggi. Kami mahu buktikan kemampuan dan berharap dapat menutup mulut pengkritik menerusi keputusan di atas padang, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pusat di sebuah hotel di sini hari ini.

Ubaidullah sebelum ini pernah mencuri perhatian apabila dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan ketika aksi persahabatan antarabangsa skuad Harimau Malaya menentang Cape Verde yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei lepas.

Mengulas lanjut, Ubaidullah berkata pengalaman bersama skuad senior bukan tiket automatik untuk terus tersenarai dalam skuad B-23 dan beliau bersedia bersaing secara sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Sementara itu, ketua jurulatih B-23 negara Mohd Nafuzi Zain memaklumkan seramai 30 pemain telah melaporkan diri mengikut perancangan dan menyifatkan persiapan awal pasukan berjalan lancar.

“Semuanya mengikut perancangan. Saya berterima kasih kepada kelab-kelab atas kerjasama yang diberikan. Pemain pun nampak bersemangat dan teruja, satu petanda positif untuk pasukan,” katanya.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan A Kejohanan Piala ASEAN B-23 pada 15 Julai menentang Filipina, diikuti Brunei (18 Julai) dan tuan rumah Indonesia (21 Julai) pada aksi yang dilihat bakal menjadi penentuan untuk juara kumpulan.

Hanya juara kumpulan dan naib juara akan mengesahkan slot ke separuh akhir pertandingan itu.

Skuad B-23 negara belum pernah memenangi Piala ASEAN B-23 dengan pencapaian terbaik setakat ini adalah meraih tempat keempat pada edisi 2005 dan 2023..

Kejohanan tersebut berlangsung dari 15 hingga 29 Julai ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan