KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Bekas penjaga gol pasukan Kedah Mohd Azmi Mahmud membuktikan kemahirannya bukan hanya terhad di padang bola, tapi juga terserlah di padang golf apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Kebangsaan Cabaran Golf Korporat Dunia (WCGC) Malaysia dengan menduduki tempat kedua pada pusingan kedua kelayakan.
Dalam aksi di Tropicana Golf & Country Club di Petaling Jaya baru-baru ini Mohd Azmi, pemain dengan handikap bawah 10 dan pasangannya Azhar Husain yang mewakili MG Synergy adalah antara lima terbaik yang layak ke Pusingan Akhir Kebangsaan.
"Selepas bersara daripada bola sepak, saya bermain golf secara sambilan, tetapi tidak lama kemudian terpikat dengan sukan ini. Saingan di kejohanan ini memang hebat, ramai pemain yang bagus, dan kami amat gembira apabila layak ke final," kata Mohd Azmi dalam kenyataan.
Susulan kejayaan perlawanan pembukaan bulan lepas, persaingan menjadi semakin sengit, dengan pasukan lima teratas dalam pertandingan Two Ball Best Ball Stableford mengesahkan tempat mereka pada final kebangsaan pada bulan September di Kota Permai Golf & Country Club.
Dalam kejohanan yang menampilkan penyertaan syarikat korporat, usahawan, pemimpin perniagaan dan profesional itu, pemain handikap bawah 10 Tay Cher Haw dan rakan kongsinya Liew Vin Sern dari Seng Haw Timber Sdn Bhd menunjukkan kehebatan mereka untuk muncul pemenang, mengembalikan skor gabungan Stableford sebanyak 49 mata.
Tiga mata di belakang, di tempat kedua dengan 46 mata adalah pasangan Mohd Azmi dan Azhar Husain mewakili MG Synergy.
Pemain pasukan Widad Skycore (M) Sdn Bhd Isyraf Widad Muhammad Ikmal Opat dan Mohd Adib Ibrahim memperoleh 45 mata untuk menduduki tempat ketiga secara countback, di hadapan pasangan Muhammad Feyyaz dan Amirul Adli Senu dari Feyyaz Sports Group.
Pasangan terakhir untuk mara ke Pusingan Akhir Kebangsaan WCGC Malaysia ialah gandingan Muhammad Firdaus Said dan Mohd Azwan dari Sinar Jernih Sdn Bhd, yang turut memperoleh 45 mata.
Pasukan yang menang di final kebangsaan akan mewakili Malaysia di WCGC World Final, yang akan perlangsung di Kelab Golf PGA Anying di Shanghai, China dari 19-23 Oktober.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial