ALOR SETAR, 2 Julai ( Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan taktik penyamaran bagi mengesan pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran yang tidak memakai tali pinggang keledar selepas arahan dikuatkuasakan bermula semalam.
Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata taktik penyamaran membolehkan tindakan saman terus dikenakan terhadap pemandu dan penumpang yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.
“Penguatkuasaan kita bukan terhad kepada sekatan jalan raya atau pemeriksaan di terminal bas dan hentian Rehat dan Rawat, tapi menerusi penyamaran. Sekiranya terdapat penumpang atau pemandu sendiri tidak memakai tali pinggang keledar dan ada bukti visual di situ, kita akan keluarkan kompaun.
“Pengunaan tali pinggang keledar ini untuk diri sendiri kerana apabila berlaku kemalangan kita tak mahu penumpang tercampak keluar dari tempat duduk disebabkan tak pakai tali pinggang keledar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Ops Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekspres dan Bas Persiaran di Plaza Tol Alor Setar arah Utara di sini semalam.
Dalam operasi kira-kira 4.30 petang itu, sebanyak 18 bas ekspres dan bas persiaran diperiksa dengan 16 notis kompaun dan dua notis peringatan dikeluarkan kepada penumpang kerana tidak memakai tali pinggang keledar.
Beliau berkata pemeriksaan turut mendapati kebanyakan tali pinggang keledar di dalam bas tidak berfungsi dengan baik dan JPJ akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi terlibat untuk melaksanakan operasi berkenaan dari semasa ke semasa.
“Ini soal keselamatan, saya ingatkan pemandu bas agar menyediakan kemudahan yang memang boleh digunakan sebab kita lihat kemudahan itu ada di tempat duduk, tapi kondisinya tak bagus, tak boleh pasang dan sebagainya. Ini tak adil bila kita nak saman, kemudahan itu tak ada,” katanya.
JPJ melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu dan semua penumpang bas ekspres dan persiaran selaras dengan Peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 Pindaan (2008).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial