BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ops Tali Pinggang: JPJ Selangor Lapor Tahap Pematuhan Tinggi

02/07/2025 02:40 PM

SEPANG, 2 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor melaporkan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran sepanjang dua hari operasi dijalankan di sekitar negeri ini sejak semalam.

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata sebanyak 56 bas ekspres dan 23 bas persiaran telah diperiksa dan didapati kesemua kenderaan mematuhi arahan serta peraturan yang telah ditetapkan.

“Kita dapati kesemua kenderaan ini telah mematuhi arahan yang telah kita uar-uarkan dan tetapkan. Di sekitar Selangor ini pematuhan dan kerjasama daripada pemandu dan penumpang adalah amat tinggi.

“Operasi ini akan diadakan secara berterusan dan kita akan membuat penguatkuasaan secara penyamaran di dalam bas serta memantau dan menguatkuasakan undang-undang yang ada semasa di dalam bas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Azrin mengetuai Ops Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekspres dan Bas Persiaran di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Arah Utara dekat sini.

Operasi itu bertujuan memastikan tahap keselamatan penumpang dalam perkhidmatan pengangkutan awam khususnya bas dipertingkatkan, selaras dengan kehendak undang-undang dan piawaian keselamatan jalan raya di Malaysia.

Azrin berkata setakat 1 tengah hari, sebanyak lima bas telah diperiksa di R&R berkenaan dan penumpang didapati memakai tali pinggang keledar serta pemandu juga telah memaklumkan kepada penumpang untuk memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan.

Beliau berkata JPJ Selangor akan menumpukan pemeriksaan terhadap bas ekspres dan bas persiaran di terminal utama bas, hentian rehat dan kawasan tumpuan pelancong serta lebuh raya utama.

 “Apabila kita membuat pemeriksaan dan penguatkuasaan dan didapati kalau tali pinggang rosak, kita akan mengarahkan syarikat itu membuat pembaikan dengan segera dan notis amaran akan diberikan,” katanya.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli pada Ahad lepas dilaporkan berkata jabatan itu akan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar ke atas semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran bermula 1 Julai, melibatkan bas yang dibina selepas Januari 2020.

Bagi bas yang dibina sebelum 2020, tempoh masa akan diberikan untuk pemasangan tali pinggang keledar dilaksanakan.

Penumpang atau pemandu yang ingkar arahan itu akan dikenakan saman sebanyak RM300, malah syarikat juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang kerana gagal memastikan keselamatan penumpang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan