KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Man Wei Chong memilih untuk memberi sepenuh tumpuan kepada aspek prestasi bersama rakan gandingannya Tee Kai Wun berbanding memburu kejuaraan semata-mata menjelang dua kejohanan penting Terbuka Jepun dan Terbuka China 2025.
Pemain berusia 25 tahun itu percaya kejayaan akan hadir dengan sendirinya sekiranya kualiti permainan dalam gelanggang sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Kita perlu kekalkan permainan (kualiti), itu paling penting. Kalau permainan bagus, maka keputusan akan ada (baik).
“Saya rasa mentaliti itu paling penting sebab mungkin ada sikit tekanan, tapi itu pun bagus untuk perkembangan kita … ,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara semalam.
Beliau menyifatkan kekalahan di separuh akhir Terbuka Indonesia 2025 kepada pasangan tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani sebagai pengalaman berharga dari segi ketahanan mental kerana terpaksa beraksi di bawah tekanan penyokong tuan rumah.
“Peminat Indonesia, meraka tak salah. Kita kena belajar tangani situasi,” katanya.
Wei Chong-Kai Wun telah merangkul dua kejuaraan musim ini, iaitu Masters Indonesia 2025 pada Januari dan Masters Malaysia 2025 pada Mei.
Sebelum ini, ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi mencabar anak buahnya untuk memenangi sekurang-kurangnya satu gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 atau Terbuka China 2025.
Terbuka Jepun 2025 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 20 Julai di Tokyo dan Terbuka China 2025 di Changzhou (22 hingga 27 Julai).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial