KOTA BHARU, 3 Julai (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong usaha mana-mana persatuan sukan untuk membawa masuk atlet warisan selagi dibuat berlandaskan peraturan yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata setiap sukan mempunyai peraturan masing-masing sama ada berkaitan pemain warisan atau naturalisasi dan pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah berhubung perkara berkenaan.
"Kita ikut peraturan antarabangsa, jika FIFA (Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa) membenarkan, kita okey dan kalau World Aquatics membenarkan atlet warisan, kita juga okey kerana ia mengikut peraturan yang diluluskan badan sukan masing-masing.
"Kita beri keutamaan kepada bakat tempatan tetapi setiap pasukan yang keluar bertanding mesti mahukan kemenangan. Selagi mereka mahu menang dan ikut peraturan, kita akan beri sokongan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Robotik Belia ASEAN 2025 (ASEAN Y-RoboC' 25), di sini hari ini.
Hannah berkata persatuan-persatuan sukan bagaimanapun diingatkan agar tidak menjadikan pengambilan atlet naturalisasi atau warisan sebagai jalan mudah untuk mencari kemenangan kerana KBS telah menyalurkan banyak peruntukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bagi tujuan pembangunan atlet akar umbi, terutama untuk Olimpik sejak 2023.
"Malah, usaha membawa masuk pemain warisan atau naturalisasi juga perlu mengikut garis panduan Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.
Sementara itu, berhubung isu kontrak antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan beregu wanita nombor tiga dunia Pearly Tan-M. Thinaah, Hannah berkata isu berkenaan tidak menjejaskan mereka dalam program Road to Gold (RTG) kerana pihaknya sentiasa menyokong semua atlet yang telah disenaraikan sebagai prospek emas pada temasya Sukan Olimpik 2028.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial