BANGKOK, 1 Julai (Bernama) -- Malaysia melancarkan kempen untuk menarik lebih ramai pelancong Thailand menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), dengan mempromosikan negara sebagai destinasi utama bagi pengalaman melancong yang terangkum dan mampan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata VM2026 menekankan aset pelancongan Malaysia yang pelbagai, termasuk taman ekopelancongan di Sabah dan Sarawak, tapak warisan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), pengalaman bandar pelbagai budaya yang meriah, serta percutian pantai yang mendamaikan.
“Kita memberi tumpuan kepada akses mudah, infrastruktur yang dipertingkatkan, dan pengalaman berteraskan kelestarian yang memenuhi kehendak pelancong moden,” katanya dalam ucapan semasa majlis pelancaran VM2026 di Bangkok pada Selasa.
Tiong yang kini mengetuai kempen promosi pelancongan ke Bangkok berkata Thailand dan Malaysia mempunyai hubungan persahabatan kukuh yang berteraskan perkongsian nilai budaya, hubungan antara rakyat serta perdagangan rentas sempadan yang mantap.
Beliau menegaskan bahawa ketika Asia Tenggara pulih dalam era pasca-pandemik, sektor pelancongan kembali menjadi tonggak penting bagi merancakkan semula ekonomi serantau.
“Dalam ASEAN, kita perlu melihat antara satu sama lain sebagai rakan kerjasama dan bukan pesaing. Dengan bekerjasama, kita dapat mengukuhkan koridor pelancongan, menawarkan pakej pelancongan yang lebih menarik, dan mewujudkan pengalaman yang lebih bermakna untuk pelancong serantau dan antarabangsa,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia menerima ketibaan 13.4 juta pelawat antarabangsa dari Januari hingga April tahun ini, meningkat 21 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Daripada jumlah itu, 833,610 pelawat adalah pelancong dari Thailand, menunjukkan peningkatan 3.4 peratus tahun ke tahun sekali gus mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai sebuah pasaran utama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial