BELANJAWAN 2025 > BERITA

Nilai Kontrak Diperoleh Syarikat Tempatan Mencecah RM18.57 Bilion Dalam Projek ECRL

01/07/2025 09:32 PM

RAWANG, 1 Julai (Bernama) -- Nilai kontrak diperoleh syarikat tempatan menerusi penglibatan dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencecah RM18.57 bilion, mengatasi RM10.8 bilion yang disasarkan, kata Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Shamsul Azri yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata projek ECRL melibatkan 3,300 syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, perunding dan pembekal dari 2017 hingga Mei 2025.

Beliau berkata bagi penglibatan syarikat bumiputera pula, kontrak bernilai RM3.4 bilion atau 97.14 peratus daripada sasaran RM3.5 bilion bagi kerja-kerja sivil ECRL telah diberikan kepada kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera.

“MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) akan mengembleng tenaga memastikan sebanyak mungkin nilai kontrak bagi syarikat tempatan serta bumiputera sehingga tamat proses pembinaan ECRL,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penembusan Terowong Serendah 2 di sini, pada Selasa.

Penembusan bagi Terowong Serendah 2 sepanjang 9.88 kilometer itu berjaya dilaksanakan enam bulan lebih awal daripada jadual asal, katanya.

Shamsul Azri berkata kerja-kerja pemasangan lapisan kekal bagi Terowong Serendah 2 telah mencapai kemajuan memberangsangkan iaitu melebihi 7,500 meter sebelum penembusan berlaku.

Terowong yang mempunyai purata ketinggian 12 meter dan kelebaran 13 meter itu cukup untuk menampung dua landasan rel tolok standard, katanya.

“Kerja-kerja pengorekan bagi Terowong Serendah 2 bermula pada Ogos 2022 dan pada asalnya dijadualkan siap dalam Disember 2025. Semua kerja-kerja sivil untuk terowong ini dijangka siap sepenuhnya menjelang September 2026,” katanya.

Projek ECRL melibatkan pembinaan 41 terowong dengan jumlah panjang keseluruhan sekitar 69 kilometer di sepanjang laluan relnya.

Terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer, yang kini di peringkat akhir kerja penggalian, dijangka berjaya ditembusi sepenuhnya menjelang pertengahan Julai 2025.

Projek ECRL merupakan projek infrastruktur bernilai RM50.27 bilion dan telah mencatatkan 84.59 peratus kemajuan keseluruhan setakat Jun 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan