Di negeri bersejarah yang kaya dengan cerita silam, terselit satu kudapan yang hampir dilupakan iaitu inang-inang, juadah tradisional yang bukan sekadar menyimpan nilai sejarah dan budaya masyarakat tetapi seribu rasa dan kenangan.
Diperbuat daripada nasi, atau kini lebih mudah dengan beras pulut yang dikeringkan dan digoreng, inang-inang hasil air tangan golongan ibu yang pada asalnya memanfaatkan lebihan nasi semalam, mencerminkan kreativiti nenek moyang dalam mencipta makanan untuk dijadikan snek petang yang dinikmati sambil bersantai di anjung rumah.
Bagaimanapun ledakan makanan ringan moden yang lebih mudah diperoleh di pasaran komersial sekarang meminggirkan inang-inang yang secara tradisi tampil dengan warna merah, hijau, oren dan kuning, sehinggakan ada orang muda yang tidak lagi mengenali apatah lagi menikmati kudapan tradisional itu.
Namun, inang-inang bagai mendapat nafas baharu menerusi acara Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Hari Pelancongan Dunia (WTD) 2025 serta sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang meletakkan snek itu di pancapersada agar kembali diingati bahawa ini bukan sekadar makanan sebaliknya secebis warisan Melaka yang tidak harus dilupakan.
PENERUS LEGASI
Pengusaha dan pengedar inang-inang Siti Aisha Ismail,46, mengakui tanpa adanya sambutan sedemikian, kudapan tradisional itu mungkin hilang ditelan zaman meskipun banyak dijual di reruai tumpuan pelancong seperti di Banda Hilir, medan jualan kraf tangan di sekitar Ayer Keroh serta Simpang Ampat, Alor Gajah.
pic-2
Merupakan pewaris ketiga legasi inang-inang dalam keluarganya sejak 25 tahun lalu, Siti Aisha mengusahakan keropok beras itu di Kampung Kandang, Alai di sini.
“Tanpa usaha memelihara dan memperkenalkan semula keropok beras ini, inang-inang mungkin akan tinggal sebagai catatan dalam buku sejarah makanan, sedangkan kudapan ini pernah menjadi kegemaran rakyat Melaka,” ujarnya ketika ditemui Bernama.
Berkongsi tentang pembuatan inang-inang, usahawan itu berkata keropok tersebut terhasil daripada adunan beras pulut, garam dan sedikit pewarna.
“Beras pulut direndam semalaman dan kemudian dikukus selama setengah jam sebelum pewarna dimasukkan. Selepas adunan sejuk, inang-inang dibentuk menjadi bulat menggunakan acuan khas. Dulu guna tangan saja.
“Bukan tidak mahu guna mesin, malah kami sudah lakukan eksperimen dan penyelidikan namun tidak ada mesin yang sesuai kerana sifat nasi pulut yang melekit. Hanya sekitar 15 tahun lepas kami berjaya membuat acuan khas tapi masih perlukan kudrat manusia. Cuma dengan adanya acuan ini mempercepat proses membentuk inang-inang berbanding zaman nenek dan emak saya yang hanya guna tangan," katanya.
Menurut Siti Aisha, peringkat paling sukar dalam penghasilan inang-inang ialah pengeringan kerana faktor cuaca memainkan peranan penting bagi memastikan keropok beras kering dengan cantik, tidak pecah atau merekah.
"Keropok perlu dijemur selama tiga hari di kawasan terbuka agar panas matahari dan angin dapat sampai di rak mengering tanpa halangan. Kalau hujan, kita ada bilik pengeringan yang menggunakan pemanas tetapi sangat berisiko kerana inang-inang mungkin menjadi rapuh, ditumbuhi kulat atau berbau jika suhu tidak dikawal dengan baik.
"Saya juga pernah meletakkan jaring penebat bagi menghalang tempias hujan tetapi inang-inang naik kulat sebab peredaran angin di kawasan rak mengering terhalang, menyebabkan keropok jadi lembap,” jelasnya.
TEMBUS PASARAN TEMPATAN, LUAR NEGARA
Menurut Siti Aisha, walaupun produk itu semakin kurang dikenali dalam kalangan generasi muda, beliau masih menerima permintaan, khususnya sebagai tanda mata ketika majlis-majlis tertentu termasuk perkahwinan dengan inang-inang digandingkan bersama-sama dodol dan belacan.
pic-3
Katanya buat masa ini beliau menggunakan sekurang-kurangnya empat tan beras pulut bagi menampung pengeluaran selama 30 hari, namun semasa sambutan TMM2024 beliau menggunakan empat kali ganda jumlah itu bagi memenuhi permintaan.
Menurutnya, syarikat beliau mengeluarkan tiga variasi iaitu inang pulut, inang pulut hitam dan inang sagu dengan harga jualan runcit RM3.50 hingga RM5 sebungkus.
"Dalam setiap pek inang pulut dan pulut hitam ada 18 keping bersaiz standard, sementara satu pek inang-inang sagu ada 26 keping.
"Kita juga keluarkan dalam bentuk saiz mini iaitu sebesar syiling 50 sen dan keluaran ini banyak mendapat sambutan sebagai cenderamata bagi majlis perkahwinan serta jualan di pasar raya," katanya yang dibantu lapan pekerja sepenuh masa terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal.
Lebih membanggakan inang-inang keluaran Siti Aisha dan suaminya Mazreen Berahim turut menembusi pasaran Singapura, dan beliau percaya dengan promosi berterusan, sama ada di media sosial atau menerusi jualan dan pameran ketika majlis atau program rasmi, mampu mengangkat kudapan tradisional tersebut kembali sebaris dengan dodol dan belacan Melaka.
KUDAPAN RAKYAT KESUKAAN ISTANA MELAKA
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka Ezlina Elias berkata dari segi sejarah bertulis, tidak ada maklumat jelas tentang asal usul inang-inang, namun perkataan “inang” merujuk satu jawatan di istana, iaitu peneman atau pengasuh anak-anak raja atau golongan bangsawan.
"Mungkin ada pertalian dengan kerepek inang-inang yang dari segi status sosialnya sudah lama dimakan oleh rakyat biasa sebelum menjadi hidangan ringan buat golongan raja dan bangsawan di istana.
"Ini berdasarkan pembuatannya yang mudah, iaitu hanya menggunakan bahan alami dan ada di dapur setiap rumah, mungkin keropok ini dihasilkan oleh golongan petani sebelum dipopularkan atau diberi nafas baharu, atau mungkin dipersembahkan kepada tukang masak istana yang mencipta menu bagi hidangan waktu senggang," katanya.
Tambahnya, untuk memastikan kudapan warisan itu terus berpasak dalam pasaran makanan ringan moden, suntikan komersial seperti pembungkusan dan kepelbagaian perisa yang relevan dengan kehendak anak muda selain dipasarkan secara besar-besaran perlu dilakukan dengan melibatkan pelbagai agensi.
TAHU PRODUK TAPI TIDAK TAHU NAMA
Dalam kalangan anak muda yang ditemui Bernama, ada yang mengakui sering “ternampak” produk itu dijual di reruai kraf tangan selain menerimanya sebagai cenderamata ketika hadir di majlis-majlis keraian, namun tidak tahu nama atau cara memakannya.
pic-4
Nur Khadeja Nazim 23, misalnya, berkata dia sering menerima keropok tersebut yang lazimnya disertakan dengan belacan dan dodol sebagai cenderadurja, namun tidak tahu nama kerana sejak kecil tidak pernah didedahkan kepada makanan warisan rakyat itu.
"Walaupun kampung ayah saya di Melaka kami tidak pernah makan inang-inang ini dan saya sendiri pernah menerimanya sebagai cenderahati tetapi memberinya kepada rakan sepejabat kerana tidak tahu bagaimana hendak memakannya," katanya yang kini menetap di Kuala Lumpur.
Ikmal Zahrin Arshad, 34, pula berkata dia pernah menikmati keropok berwarna-warni itu ketika zaman kanak-kanak, namun kini makanan ringan tersebut sudah menjadi sesuatu yang asing kerana tidak ada lagi ahli keluarga yang menyediakan juadah berkenaan untuk minum petang.
Malah dia sendiri sudah lupa nama makanan tersebut.
"Ada tengok tergantung di gerai-gerai dan saya tahu itu makanan tradisional Melaka, cuma nama dah lupa. Dulu arwah nenek yang tinggal di Merlimau rajin menggoreng keropok ini jika kami balik kampung. Sekarang, kalau ada pun cuma mak cik yang tinggal di Ayer Keroh dan itupun jarang-jarang sekali (dia goreng),” jelasnya.
Bersetuju makanan itu harus diangkat ke tahap sepatutnya, dia berkata usaha mempromosi inang-inang harus diperhebat dan tidak terhenti setakat jadi cenderamata ketika keraian.
“Keropok ini perlu dipromosikan dengan cara yang lebih baik seperti turut dihidangkan sebagai kudap-kudapan wajib dalam majlis-majlis. Jadi, selain dapat produk yang belum digoreng sebagai cenderahati, orang ramai juga boleh merasainya secara langsung di majlis yang dihadiri.
“Bila orang dah kenal dan rasa, saya percaya lebih ramai akan mencari produk ini dan seterusnya melonjakkan permintaan dalam pasaran jualan makanan tradisonal di Melaka ini," katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial