SEPANG, 1 Julai (Bernama) -- “Bagus… lebih laju berbanding dulu,” demikian reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menaiki perkhidmatan Aerotrain yang telah dinaik taraf sepenuhnya di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Anwar tiba di terminal itu pada pukul 1 tengah hari, diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani serta barisan pegawai kanan MAHB.
Perdana Menteri turut menguji sendiri perkhidmatan baharu itu dengan menaiki tren dari Contact Pier ke Satellite Building, di mana beliau menerima taklimat mengenai penambahbaikan sistem Aerotrain di bawah Airport Regeneration Plan yang dilaksanakan MAHB.
Perkhidmatan tren moden tanpa pemandu itu kembali beroperasi sepenuhnya pagi ini selepas menjalani proses naik taraf bernilai RM456 juta, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi KLIA berjumlah RM742 juta, yang bertujuan memperkukuh kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau bertaraf dunia.
Aerotrain yang menjadi ciri ikonik KLIA sejak pembukaannya pada 1998 kini dilengkapi set tren Alstom Innovia APM 300R. Setiap tren tiga gerabak itu mampu memuatkan sehingga 270 penumpang dan bergerak pada kelajuan maksimum 56 kilometer sejam, sekali gus mengurangkan masa perjalanan antara terminal utama dan terminal satelit kepada kurang tiga minit.
Tren baharu ini turut dilengkapi sistem pemantauan kondisi canggih yang direka untuk mengurangkan gangguan perkhidmatan, meningkatkan kecekapan operasi serta menambah keselesaan pengguna.
Menurut Mohd Izani, sistem yang dinaik taraf itu telah menjalani proses pengujian dan pelaksanaan ketat selama enam bulan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dari Januari hingga Jun 2025, termasuk penilaian teknikal dan keselamatan secara menyeluruh.
Terminal 1 KLIA kini merekodkan lebih 100,000 pergerakan penumpang setiap hari. Aerotrain kekal sebagai penghubung penting, terutamanya bagi penumpang transit antarabangsa yang menggunakan terminal satelit yang menempatkan kebanyakan penerbangan jarak jauh.
Dengan operasi kini pulih sepenuhnya, MAHB berkata sistem Aerotrain yang ditambah baik ini akan meningkatkan kesiapsiagaan KLIA bagi menerima pertambahan trafik penumpang menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, serta menyokong pemulihan sepenuhnya ke tahap prapandemik.
Sementara itu, Anwar dalam catatan di Facebook berkata proses penyelenggaraan dan penambahbaikan perkhidmatan Aerotrain adalah penting demi memastikan keselesaan dan kelancaran pergerakan semua pihak, khususnya penumpang yang menggunakan KLIA sebagai pintu masuk dan keluar negara.
Perdana Menteri berkata kemudahan itu juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh imej KLIA sebagai lapangan terbang bertaraf dunia yang sentiasa mendahulukan keperluan serta keselesaan pengguna.
“Alhamdulillah, perkhidmatan Aerotrain ini kini kembali beroperasi bermula hari ini setelah melalui proses penyelenggaraan dan penambahbaikan.
“Saya berpuas hati dengan tahap pengoperasian Aerotrain ini yang bukan sahaja pantas dan cekap, tetapi juga mudah diakses oleh semua,” kata Anwar, yang turut meninjau sendiri perkhidmatan Aerotrain sebelum beliau berlepas bagi memulakan rangka lawatan rasmi ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil, bermula hari ini.
Menerusi catatan itu, Anwar turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak Malaysia Airports serta semua yang terlibat atas usaha berterusan dalam menambah baik mutu perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat dan pelawat antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial