BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bukan Salah Sarjit Speedy Tigers Gagal Mara Separuh Akhir - Subahan

30/06/2025 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara Sarjit Singh tidak patut dipersalahkan sepenuhnya susulan prestasi hambar Speedy Tigers di Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2025 baru-baru ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata seluruh skuad itu termasuk pemain perlu mengambil tanggungjawab selepas gagal mencapai misi untuk mara ke separuh akhir.

“Saya sudah lama dalam sukan ini dan saya lihat pemain Malaysia di bawah kendalian Sarjit boleh menandingi mana-mana pasukan gergasi dunia.

“Cuma masalahnya masih sama, masalah untuk mempertahankan pendahuluan. Sebagai contoh waktu lawan New Zealand, kita mendahului 3-0 tapi kalah 4-3. Kalau tak bagus, kita sudah kalah 6-0,” katanya pada sidang media KHM di sini hari ini.

Pada saingan Piala Negara-Negara FIH di sini baru-baru ini, Malaysia bukan sahaja gagal layak ke separuh akhir bahkan terpaksa akur menamatkan saingan pada kedudukan enam terbaik selepas tewas 1-2 kepada Wales pada aksi penentuan tempat kelima.

Subahan berkata meskipun kecewa dengan keputusan yang diraih pasukan negara, namun beliau berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan anak buah Sarjit Singh itu.

Beliau berkata KHM juga akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi pasukan hoki negara untuk mencapai kemenangan pada masa akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan