BELANJAWAN 2025 > BERITA

MIGHT Lancar Pusat Inovasi Bagi Pacu Teknologi Rel, Bandar Pintar

26/06/2025 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan dua pusat inovasi untuk memacu pembangunan teknologi tempatan dalam sektor rel dan bandar pintar.

Pelancaran Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC) dan Pusat Pengalaman Bandar Pintar & Inovasi Generasi  Akan Datang (SCENIC) itu diadakan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan MIGHT ke-30.

MIGHT dalam kenyataan hari ini berkata program ITIC dibangunkan dengan kerjasama Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC) dan Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA) bagi menyokong penggunaan penyelesaian yang dihasilkan dalam negara.

“Program itu bertujuan memacu penggunaan penyelesaian teknologi tempatan dalam sektor rel dan bandar pintar sekali gus memperteguh kedudukan Malaysia dalam inovasi berteknologi tinggi,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif berkenaan, MARIC bekerjasama dengan Tech Store Malaysia untuk membangunkan Sistem Pemantauan Rel Pintar yang menggunakan data masa nyata dan analisis ramalan bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan dan operasi.

“Pemantauan masa nyata ke atas lokasi tren, kelajuan, pembilang gandar dan pengesanan beban berlebihan adalah ciri penting yang menyokong penyelenggaraan ramalan dan pencegahan untuk mengurangkan masa berhenti dan meningkatkan keselamatan,” kata MIGHT.

MIGHT berkata pihaknya telah mengeluarkan Laporan Industri Rel Malaysia yang dibangunkan dengan input daripada pihak berkepentingan untuk menonjolkan teknologi baharu seperti pembuatan bahan tambahan, pemantauan jarak jauh, stesen pintar dan teknologi hijau.

“Teknologi yang diketengahkan termasuk pembuatan bahan tambahan, sistem pengesanan kecacatan rel, teknologi cekap tenaga dan hijau, alat latihan lanjutan, membuat keputusan berasaskan data, pemantauan jarak jauh, penyelenggaraan pintar, automasi kereta api dan infrastruktur stesen pintar," katanya

Kemudahan SCENIC, yang dibina menggunakan bahan komposit di bawah Sistem Binaan Berindustri (IBS) berperanan sebagai hab kerjasama untuk mempamerkan dan memperlihatkan teknologi bandar pintar tempatan.

“Ia turut berperanan sebagai penghubung antara inovasi dan dasar, memudahkan pelaksanaan teknologi masa depan sejajar dengan matlamat pembangunan bandar negara,” kata MIGHT.

Selain itu, satu Direktori Bandar Pintar turut diperkenalkan untuk mengkatalogkan teknologi, produk dan perkhidmatan di sepanjang rantaian nilai bandar pintar bagi menyokong langkah membuat keputusan berasaskan data oleh pihak berkuasa tempatan dan pemain industri.

"Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MIGHT untuk memperkukuh landskap inovasi Malaysia dengan memupuk keupayaan teknologi tempatan," katanya.

MIGHT berkata usaha ini menyokong 10-10 Rangka Kerja Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE) serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.

“Program ITIC akan terus berkembang meliputi pelbagai platform untuk memajukan teknologi strategik dan pemacu sosioekonomi, memastikan kedudukan Malaysia di barisan hadapan inovasi global dalam pengangkutan dan pembangunan bandar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan