BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Dalam Kumpulan Sukar Kelayakan Futsal Piala Asia 2026

26/06/2025 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Skuad futsal negara berdepan tugas sukar dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia 2026 selepas diundi bersama pasukan gergasi Iran dalam Kumpulan G pada pusingan kelayakan yang dijadualkan berlangsung di Kuantan, Pahang, 20-24 Sept ini.

Selain Iran, pasukan bimbingan Rakphol Sainetngam itu juga akan dicabar pasukan meningkat naik Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bangladesh.

Sainetngam berkata perjalanan Malaysia tidak mudah selepas diundi bersama Iran dan UAE dan pasukannya juga tidak boleh memperkecilkan keupayaan Bangladesh.

“Namun faktor paling utama ialah kami sendiri. Pasukan kami perlu bersedia sepenuhnya dalam latihan, pengurusan pasukan dan perancangan strategik sebelum kejohanan bermula.

“Tempoh ini sangat penting bagi mengumpul maklumat terperinci mengenai lawan dan membangunkan pelan paling efektif untuk beraksi pada tahap terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut jurulatih kelahiran Thailand itu, bermain di tempat sendiri turut memberi sedikit kelebihan kepada pasukannya. 

“Ini akan menjadi kali pertama dalam tujuh ke lapan tahun, satu pertandingan futsal antarabangsa dianjurkan di negara ini (kali terakhir pada Sukan SEA 2017).

“Kami sangat berharap peminat Malaysia akan hadir dalam jumlah yang besar untuk menyokong kami di venue kerana tenaga daripada penyokong akan menjadi pendorong yang kuat untuk pasukan berjuang dengan seluruh kekuatan dalam setiap detik permainan,” katanya.

Dalam pusingan kelayakan yang akan diadakan di Stadium Tertutup SUKPA, Malaysia akan memulakan kempen dengan menentang UAE pada 20 Sept diikuti Bangladesh pada 22 Sept sebelum menutup tirai perlawanan kumpulan dengan berdepan Iran pada 24 Sept.

Pemenang daripada lapan kumpulan dan tujuh naib johan terbaik mara ke final edisi ke-18 yang akan dianjurkan Indonesia pada Januari tahun depan.

Malaysia telah menyertai 12 edisi kejohanan itu dengan penampilan terakhir pada 2018 di Taiwan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan