BELANJAWAN 2025 > BERITA

Projek NTC Berjalan Lancar, Dijangka Siap Tanpa Kelewatan

26/06/2025 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Projek pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya berjalan mengikut jadual asal dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya tanpa sebarang kelewatan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman berkata projek dibahagikan kepada Fasa Satu dan Fasa Dua itu masih mendahului jadual asal sebanyak 50 hari.

Beliau berkata dua padang iaitu jenis rumput asli (Bermuda) dan hibrid dalam Fasa Satu dijangka siap tahun ini manakala padang rumput tiruan dan beberapa fasiliti penting lain akan menyusul dalam Fasa Dua.

“Sebenarnya projek ini mendahului jadual asal sebanyak 50 hari hasil kerjasama rapat semua pihak. Bagi Fasa Satu dua padang itu mungkin siap antara September hingga Oktober.

“Bagi Fasa 2, fasiliti-fasiliti seperti yang dikeluarkan JKR (Jabatan Kerja Raya) akan diumumkan pada pertengahan Julai ini. Untuk padang rumput tiruan, pembinaan bumbung perlu bermula dahulu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, FAM hari ini berkongsi gambar-gambar terkini di tapak pembinaan NTC sempena genap setahun majlis pecah tanah pada 26 Jun 2024.

Fasa Satu projek pembinaan NTC merangkumi padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza yang turut dilengkapi lampu limpah sepenuhnya serta sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi enam meter (m) di sekeliling kawasan padang, dijangka siap pada Disember 2026.

Projek itu bakal disusuli dengan Fasa Dua membabitkan pembinaan padang rumput tiruan, sebuah bangunan seluas 1,682.8m persegi merangkumi gimnasium, ruang serba guna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau, selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan.

Fasa Dua dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027.

Terletak berhampiran Taman Ekuestrian Putrajaya, NTC dibina di atas tapak seluas 5.2 hektar dengan Fasa Satu projek itu menggunakan dana daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah AS$5.2 juta (kira-kira RM24 juta) manakala Fasa Dua pula menggunakan peruntukan RM45 juta daripada kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan