Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 25 Jun (Bernama) -- Penggubal dasar dan pakar dari seluruh Asia Tenggara berhimpun di Jakarta minggu lalu bagi dialog peringkat tinggi bertujuan memperkasa diplomasi sains dan merangka Pelan Hala Tuju Diplomasi Sains ASEAN.
Menurut kenyataan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), acara itu menghimpunkan tokoh pemikir, pegawai kerajaan dan rakan institusi dari seluruh rantau ini.
Dialog berkenaan dianjurkan bersama oleh MIGHT, Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN) Indonesia, serta Institut Sains Diplomasi dan Kelestarian Antarabangsa (IISDS) di Universiti UCSI, dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia dan Sekretariat ASEAN.
Menurut MIGHT, sesi Rakan Dialog bertujuan mempromosikan kerjasama serantau melalui diplomasi sains, satu bidang yang semakin berkembang yang memanfaatkan kolaborasi saintifik sebagai alat perhubungan antarabangsa.
Dalam ucaptamanya, Pengerusi BRIN Dr Laksana Tri Handoko menekankan kepentingan pakatan penyelidikan pelbagai hala dalam menangani cabaran merentas sempadan yang kompleks.
Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid pula menegaskan bahawa sudah tiba masanya diplomasi sains diinstitusikan di peringkat ASEAN untuk menyokong pembangunan mampan dan kemajuan saintifik yang adil dan saksama.
Sesi panel yang dikendalikan oleh Profesor Mohamad Osman dari IISDS menampilkan pakar serantau dan antarabangsa, antaranya Réka Tózsa (Yayasan Asia-Eropah), Dr Engin Koncagül (UNESCO Jakarta), Dr Arvin Diesmos (Pusat Biodiversiti ASEAN) serta Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan (MOSTI).
Perbincangan tertumpu kepada usaha membina kepercayaan, merangsang inovasi serta mengukuhkan kepentingan saintifik serantau.
Antara cadangan utama yang diketengahkan termasuk penubuhan Pusat Kecemerlangan ASEAN dalam Diplomasi Sains.
“Diplomasi sains yang berteraskan ASEAN bukan sekadar kerjasama saintifik. Ia mengenai membina kepercayaan, berkongsi kekuatan dan memastikan tiada negara tercicir dalam usaha mencari penyelesaian bersama,” kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Rushdi Abdul Rahim.
Dialog itu merupakan antara acara menjelang Cyberjaya Conversations Summit yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 3 Dis 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial