Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 25 Jun (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa usaha mengharungi ketidaktentuan masa kini menuntut bukan sahaja ketahanan dan kemampuan beradaptasi, malah memerlukan kerjasama dan keberanian kolektif.
Baginda bertitah bahawa memulihkan kepercayaan, mengutamakan kesaksamaan, menerima kepelbagaian, serta berani berimaginasi merupakan empat prinsip panduan untuk menghadapi ketidakpastian yang didorong transformasi digital masyarakat, dinamik migrasi manusia dan kesan ekonomi globalisasi yang tidak sekata.
Baginda turut bertitah bahawa dalam zaman pergolakan ini, kepastian yang biasa dialami boleh memberi rasa selamat yang menipu.
“Terdapat kecenderungan untuk berundur ke dalam lingkungan identiti yang sempit, mempertahankan keistimewaan, serta memuja masa lalu yang — jika dinilai dengan jujur tanpa nostalgia — tidaklah seindah yang dikenang.
“Namun beta yakin, jawapan kepada ketidaktentuan bukanlah pengunduran,” titah baginda.
Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan ucaptama bertajuk "Navigating Uncertainty" sempena Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Satu Padu (ICCS) kali ketiga yang berlangsung di Pusat Konvensyen Raffles City di sini, Rabu.
Dalam ucaptama itu, baginda menegaskan bahawa membina semula kepercayaan memerlukan pelaburan dalam literasi media, integriti digital dan komunikasi jujur - bukan sekadar kawalan.
“Kita perlu melabur semula dalam kontrak sosial. Kita perlukan institusi yang telus, kepimpinan yang bertanggungjawab dan ruang sivil yang membuatkan rakyat merasa dihargai dan didengari,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menekankan bahawa keadilan sosial, ekonomi dan ekologi perlu dijadikan teras dalam penggubalan dasar.
Baginda turut bertitah mengenai kepentingan menerima kepelbagaian melalui penerimaan budaya, agama, identiti dan asal usul yang berbeza, serta perspektif sosial dan politik yang pelbagai.
“Ini berkait dengan pengiktirafan terhadap maruah dan peluang setiap insan dalam menerima perbezaan, melihat semula persepsi terhadap migrasi, dan menolak politik berasaskan ketakutan.
“Kepercayaan kepada nilai kemanusiaan sejagat adalah asas segalanya,” titah baginda, sambil menambah bahawa kasih sayang dan belas ihsan terhadap sesama manusia adalah nilai yang diajar oleh semua agama dan falsafah besar dunia.
Menyentuh tentang prinsip “berani berimaginasi”, baginda bertitah bahawa pendidikan harus membentuk individu agar berfikir secara kritis dan bertindak secara beretika, manakala perancangan bandar perlu direka untuk keterangkuman dan dasar awam mesti dipandu oleh imaginasi moral.
Dalam perkembangan lain, Sultan Nazrin turut menyeru masyarakat antarabangsa agar berganding bahu menghadapi krisis global yang semakin meruncing dan akan terus mencetuskan gelombang migrasi.
“Kita perlu bekerjasama mencari kediaman baharu bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal dan membantu meringankan beban negara yang tertekan.
“Kita juga perlu bersikap terbuka kepada mereka yang mampu kita tampung dan berusaha menangani punca sebenar yang menyebabkan manusia terpaksa meninggalkan tanah air mereka,” titah baginda.
Baginda turut bertitah bahawa di peringkat nasional, kerajaan perlu menggandakan usaha untuk menggalakkan keterangkuman dan integrasi, serta membina keharmonian dan persefahaman antara masyarakat pelbagai latar belakang kerana ini adalah cabaran yang tidak boleh diabaikan.
“Akibat daripada sebuah masyarakat yang berpecah belah adalah amat serius,” titah baginda.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah migran antarabangsa di seluruh dunia hampir dua kali ganda sejak 1990, iaitu daripada 154 juta kepada 304 juta dan dijangka mencecah satu bilion menjelang 2050.
Persidangan ICCS yang diasaskan oleh bekas Presiden Singapura Halimah Yacob dianjurkan oleh S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS) dan disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura.
Ia menghimpunkan pemikir global, pembuat dasar, penggiat masyarakat dan pemimpin muda untuk berkongsi idea, amalan terbaik dan mencari penyelesaian inovatif bagi membina masyarakat majmuk yang kukuh dan berdaya tahan di seluruh dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial