BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pantai Timur Berpotensi Besar Jadi Peneraju Pembangunan Teknologi Masa Depan

24/06/2025 06:38 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Jun (Bernama) -- Tiga negeri di Pantai Timur Semenanjung terutama Terengganu berpotensi besar untuk terlibat dalam pembangunan teknologi masa hadapan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.

Beliau berkata sebagai contoh, pelaburan dalam bidang strategik seperti industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang dijangka dilaksanakan di Terengganu bukan sahaja membuka ruang ekonomi baharu tetapi memerlukan kemahiran khusus tenaga tempatan.

“Ini menandakan betapa pentingnya usaha memperkasakan bakat dalam kalangan anak muda untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai industri teknologi tinggi negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Pantai Timur, yang disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata pelaburan asing dan domestik yang semakin meningkat dalam sektor berteknologi tinggi bukan sahaja membuktikan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran dan dasar Kerajaan MADANI, malah ia juga menuntut Malaysia untuk terus memastikan penawaran bakat selari dengan permintaan industri.

Justeru, pendekatan Kerajaan Persekutuan yang menekankan keadilan dan pembangunan seimbang, tanpa mengira fahaman politik sangat penting agar negeri-negeri di Pantai Timur khususnya Terengganu terus diberi perhatian dari segi pelaburan, pendidikan dan sokongan pembudayaan bidang Sains Teknologi dan Inovasi.

“Dalam semangat ini, MOSTI amat mengalu-alukan kerjasama aktif kerajaan negeri, institusi pendidikan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat dalam menjayakan agenda pembangunan bakat STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan inovasi.

“Hanya dengan kerjasama menyeluruh, kita dapat membina masa depan negara yang benar-benar berteraskan ilmu, teknologi dan kemampanan,” katanya.

Karnival MSN 2025 Zon Pantai Timur yang dirasmikan Ahmad Samsuri hari ini, diadakan selama tiga hari sehingga Khamis ini di PSKT.

Program itu adalah satu inisiatif MOSTI melalui Pusat Sains Negara bertujuan memastikan Malaysia mampu menerajui transformasi teknologi dan ekonomi masa depan, dengan menyasarkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan seperti murid sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, para guru, penyelidik, pihak industri dan orang awam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan