Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 24 Jun (Bernama) -- Perjanjian antara Lion Group dari Malaysia dan syarikat perlombongan milik Algeria, Sonarem, menunjukkan potensi besar untuk kerjasama dua hala dalam pelaburan dan penerokaan mineral.
Memorandum persefahaman (MoU) itu membolehkan kedua-dua syarikat membangunkan projek berkaitan mineral seperti mangan, kuprum serta sumber strategik lain, di samping mempromosi pertukaran kepakaran teknikal, menurut Duta Besar Malaysia ke Algeria, Rizany Irwan Muhamad Mazlan.
“Perjanjian ini membuktikan bahawa hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Algeria semakin berkembang dalam sektor-sektor utama.
“Terdapat potensi besar untuk kerjasama dalam bidang perlombongan antara kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama pada Selasa.
MoU itu ditandatangani awal bulan ini oleh Pengurus Besar Bahagian Perlombongan Lion Group, Wong Weng On dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penyelidikan Geologi dan Perlombongan Algeria (ORGM), Azri Yahia, iaitu anak syarikat kepada Sonarem.
Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian ialah Pengerusi Eksekutif Lion Group Tan Sri William Cheng, Ketua Pegawai Eksekutif Sonarem Belkacem Soltani, Duta Malaysia ke Algeria, Rizany Irwan serta Setiausaha Negara kepada Menteri Tenaga Algeria yang bertanggungjawab ke atas sektor perlombongan, Karima Tafer.
Rizany turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Karima bagi membincangkan kerjasama berterusan antara Malaysia dan Algeria dalam industri perlombongan.
Karima memaklumkan bahawa kerajaan Algeria menyediakan rangka kerja perundangan baharu bagi sektor perlombongan untuk menyediakan insentif serta perlindungan pelaburan kepada pelabur asing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial