BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penstrukturan Semula Tarif Elektrik Tingkat Ketelusan Kos Penggunaan - FMM

24/06/2025 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik langkah penstrukturan semula tarif elektrik di bawah Tempoh Regulatori Keempat (RP4), dan menyifatkan ia sebagai proses pelarasan semula kos yang lebih telus kepada pengguna dan menggalakkan pengurusan permintaan tenaga.

Dalam satu kenyataan hari ini, FMM berkata struktur baharu itu mencerminkan pengurangan keseluruhan sebanyak 19 peratus dalam kadar tarif dengan mengambil kira harga bahan api semasa.

"FMM juga ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan sebanyak RM5 bilion yang digunakan untuk menyerap pelarasan kos bahan api sepanjang separuh pertama tahun ini susulan kelewatan pelaksanaan RP4," katanya.

Sebanyak 70 peratus pengguna voltan sederhana dijangka menikmati bil elektrik yang lebih rendah, manakala baki 30 peratus mungkin berdepan kos yang lebih tinggi dan disarankan mempertingkat kecekapan penggunaan tenaga serta pengurusan beban, kata FMM.

“FMM khususnya amat mengalu-alukan pertambahan waktu luar puncak sebanyak 80 peratus daripada 70 jam kepada 128 jam seminggu, termasuk kadar luar puncak pada hujung minggu yang telah diperjuangkan FMM sejak beberapa dekad lepas,” katanya.

Selain itu, mekanisme pelarasan bahan api automatik yang diperkenalkan bagi menggantikan sistem kos ketidakseimbangan pula dilihat mampu menyediakan pendekatan yang lebih mantap dan berkesan dalam mencerminkan harga tenaga mengikut keadaan pasaran.

 FMM juga mencadangkan supaya struktur tarif bagi kategori penggunaan voltan tinggi berdasarkan masa (time-of-use) agar kekal kompetitif dan menarik dalam jangka panjang bagi pengguna dalam kategori tersebut.

Persekutuan itu juga berharap akan ada pengumuman lanjut mengenai skim tenaga boleh baharu (TBB), termasuk tarif elektrik hijau, susulan pelaksanaan penstrukturan ini bagi menyokong penerimagunaan TBB yang lebih meluas dalam sektor perindustrian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan