BELANJAWAN 2025 > BERITA

IPPTAR Berperanan Bentuk Generasi Baharu Sebagai Kuasa Komunikator Beretika

24/06/2025 01:00 AM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) memainkan peranan penting dalam membentuk generasi baharu digelar Generasi Z untuk menjadi komunikator yang beretika.

Pengarah IPPTAR Roslan Ariffin berkata bagi tujuan itu, penekanan dan bimbingan mengenai etika komunikasi harus dipupuk sejak awal seiring dengan kemajuan teknologi digital supaya suara generasi baharu menjadi satu kuasa komunikasi yang baik.

“Generasi hari ini begitu pantas, segala-galanya pantas, bercakap pun pantas, WhatsApp pun pantas dan suara mereka serta cara mereka berhubung juga tanpa sempadan… jadi, kita perlu memberi penekanan dan bimbingan kepada mereka dengan harapan mereka berkomunikasi secara beretika.

“Ini juga bertepatan dengan tema sambutan Hari Terbuka IPPTAR yang akan diadakan esok iaitu ‘Suara Generasi, Kuasa Komunikasi',” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata Hari Terbuka IPPTAR yang memasuki edisi kedua penganjurannya tahun ini menjadi landasan tarikan bagi golongan muda untuk hadir dan mengenali institut itu secara lebih dekat.

“Pengisian yang kita sediakan juga kebanyakannya adalah untuk menarik golongan ini dan kebanyakan daripada mereka hari ini ingin menjadi pempengaruh tetapi untuk bergelar pempengaruh, mereka perlulah menjadi komunikator yang baik.

“Dengan mengenali IPPTAR, satu masa nanti mereka dapat meletakkan IPPTAR di hati dan jiwa mereka sebagai satu institusi yang mengajar serta mendidik mereka dalam dunia komunikasi,” katanya.

Roslan juga berkata dalam mendepani teknologi terkini termasuk ledakan kecerdasan buatan (AI), IPPTAR terus melangkah dan berkembang untuk menjadi sebuah institusi latihan terkemuka dalam bidang komunikasi bagi memenuhi keperluan semasa.

Sempena sambutan Hari Terbuka IPPTAR 2025 esok, orang ramai berpeluang mendekati dan memahami teknologi AI serta kepentingannya dalam industri media dan penyiaran selain menyertai pelbagai aktiviti menarik.

Sambutan itu, yang turut mempamerkan peralatan canggih penyiaran antarabangsa, berlangsung di Dewan Cendekiawan, IPPTAR bermula 10 pagi hingga 4 petang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan