NEW YORK, 23 Jun (Bernama - CMG) -- Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong mengecam sekeras-kerasnya serangan yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran dan kemudahan nuklear yang dipantau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Menurut Fu, serangan AS terhadap tiga kemudahan nuklear utama Iran di Fordo, Natanz dan Isfahan telah melanggar prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, menceroboh kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Iran, sekali gus menambah ketegangan di rantau Asia Barat dan memberikan tempias teruk kepada sistem pengawalan nuklear antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB di sini, pada Ahad.
Fu Cong berkata, China menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di Asia Barat.
"Pihak-pihak terlibat, terutamanya Israel perlu menghentikan tindakan ketenteraan untuk mengelakkan situasi menjadi lebih meruncing atau peperangan merebak ke luar rantau berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa saluran diplomatik bagi penyelesaian isu nuklear Iran masih belum digunakan sepenuhnya, manakala penyelesaian secara damai masih ada kemungkinan.
Beliau menekankan, China bersedia berusaha bersama masyarakat antarabangsa, bersinergi dan mengangkat keadilan demi pemulihan kedamaian dan kestabilan di Asia Barat.
– BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial