BELANJAWAN 2025 > BERITA

Indonesia Siasat Ancaman Bom Terhadap Dua Penerbangan Haji Saudia Airlines

23/06/2025 04:09 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 23 Jun (Bernama) -- Pihak berkuasa Indonesia pada Isnin memaklumkan bahawa satu lagi ancaman bom yang menyasarkan penerbangan Saudia Airlines dikesan dihantar melalui komunikasi suara menggunakan sistem radio berasaskan rangkaian persendirian maya (VPN), sehingga memaksa pesawat melakukan pendaratan cemas di Sumatera Utara.

Ancaman yang diterima pada Sabtu itu melibatkan penerbangan SVA 5688 bagi laluan Jeddah–Muscat–Surabaya yang membawa 376 jemaah haji dari Jawa Timur serta 11 anak kapal.

Pesawat berkenaan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Sumatera Utara pada 9.30 pagi, sebelum semua penumpang dan kru dipindahkan serta menjalani pemeriksaan keselamatan, menurut kenyataan pihak polis dan tentera.

Jurucakap unit antikeganasan polis Densus 88, Mayndra Eka Wardhana berkata mesej ancaman itu dihantar ketika pesawat berada di ruang udara India.

“Ancaman itu dihantar melalui komunikasi suara menggunakan sistem radio berasaskan VPN, yang membolehkan komunikasi rentas sempadan atau darat-ke-darat,” katanya kepada stesen penyiaran tempatan MetroTV.

Pemeriksaan bersama yang melibatkan pasukan tentera, polis dan agensi berkaitan mendapati tiada bahan letupan atau objek mencurigakan di dalam pesawat, menurut Pusat Penerangan Tentera Nasional Indonesia (Puspen TNI).

“Menjelang 7.15 malam, proses pemeriksaan selesai dijalankan dan tiada ancaman dikesan,” kata Ketua Puspen TNI Mejar Jeneral Kristomei Sianturi dalam satu kenyataan.

Penerbangan disambung semula pada 3 pagi Ahad.

Insiden itu menyusuli satu lagi ancaman bom pada 17 Jun membabitkan penerbangan Saudia SV 5276, yang membawa 422 jemaah haji dari Depok, Jawa Barat, yang dalam perjalanan dari Jeddah ke Jakarta dan turut diarahkan mendarat di lapangan terbang sama.

Laporan media memetik kenyataan pihak berkuasa lapangan terbang bahawa ancaman itu dihantar dalam bahasa Inggeris melalui e-mel kepada pembantu juruterbang, dipercayai berasal dari Mumbai dan didakwa melibatkan seorang warga asing.

“Kami sedang menganalisis sama ada ancaman itu datang dari dalam atau luar negara,” kata Mayndra.

Densus 88 turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi memandangkan pesawat itu diklasifikasikan sebagai aset negara.

Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo memaklumkan bahawa pihaknya turut bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat untuk mengesan punca e-mel berkenaan.

“Penemuan awal menunjukkan nama pengirim tidak sepadan dengan alamat e-mel yang digunakan,” katanya.

Setakat ini, motif di sebalik kedua-dua insiden masih belum diketahui.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan