BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bursa Malaysia Wujud Kumpulan Kerja Industri Bagi Tingkat Keselamatan Siber

20/06/2025 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) telah mewujudkan kumpulan kerja industri bagi meningkatkan daya tahan siber merentas ekosistem pembrokeran saham bagi menyelaras tindakan berikutan insiden perdagangan tanpa kebenaran pada 24 April 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fad'l Mohamed berkata kumpulan kerja industri itu mewakili usaha bersepadu untuk mengukuhkan daya tahan siber ekosistem perdagangannya.

“Pihak industri mengakui bahawa daya tahan siber bukan sekadar amalan terbaik teknologi, ia juga asas kepada pasaran modal yang boleh dipercayai dan bertenaga.

“Ekosistem yang berdaya tahan melindungi keyakinan pelabur, menegakkan integriti pasaran dan memastikan infrastruktur digital kami dapat bertahan dan menyesuaikan diri dengan ancaman yang berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bursa Malaysia berkata Ketua Pegawai Kawal Selianya, Julian M Hashim akan mempengerusikan kumpulan kerja industri itu, yang terdiri daripada empat organisasi penyertaan yang disokong oleh bank (PO), dua PO bukan bank dan dua pakar dalam keselamatan siber.

Beliau berkata kumpulan kerja itu menyasarkan untuk memuktamadkan kertas cadangannya dalam tempoh empat bulan, dengan fasa seterusnya tertumpu pada pelaksanaan langkah-langkah yang dicadangkan.

“Menyedari kepelbagaian dalam operasi yang kompleks merentas firma pembrokeran saham, perundingan dengan industri akan dibuat bagi memastikan kertas cadangan itu praktikal dan mencapai matlamatnya,” katanya.

Kumpulan kerja itu mengadakan mesyuarat pertamanya pada 17 Jun, 2025 dan telah memuktamadkan terma rujukannya, termasuk menyemak pendekatan semasa keselamatan siber dan mengenalpasti kelemahan sistem pembrokeran saham, menetapkan pengurusan risiko teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seluruh industri, serta mengesyorkan penambahbaikan kepada peraturan dan prosedur untuk meningkatkan daya tahan siber.

Menurut Bursa Malaysia, beberapa bulan kebelakangan ini, firma pembrokeran saham telah mengambil langkah berhati-hati, termasuk penetapan semula kata laluan mandatori, peningkatan pemantauan log masuk luar biasa, menyekat alamat Protokol Internet (IP) yang mencurigakan dan mengeluarkan amaran kepada pelanggan untuk memastikan butiran log masuk sentiada disimpan dengan selamat.

Selaras dengan usaha tersebut, Bursa Malaysia telah mengeluarkan arahan pada 21 Mei, 2025 yang mewajibkan semua firma pembrokeran saham melaksanakan pengesahan pelbagai faktor menjelang akhir tahun, iaitu langkah kritikal bagi meningkatkan keselamatan akaun dagangan pelabur dan mengurangkan risiko akses tanpa kebenaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan