BELANJAWAN 2025 > BERITA

KDN FC Mula Bayar Tunggakan Gaji Pemain, Sasar Selesai Sebelum Liga Bermula

21/06/2025 10:28 AM

KOTA BHARU, 21 Jun (Bernama) -- Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) telah menyelesaikan kira-kira 10 hingga 20 peratus tunggakan gaji pemain bagi saingan Liga Super musim lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata penyelesaian dicapai selepas pihak pengurusan mengadakan pertemuan dengan pemain terlibat dalam isu tunggakan gaji.

Beliau berkata hasil pertemuan itu, pemain bersetuju untuk menerima kaedah pembayaran bagi menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji.

“Tunggakan melibatkan gaji bagi Februari, Mac dan April 2025. Kita telah memulakan pertemuan dengan pemain sejak semalam bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama kelab penyokong KDN FC di sini malam tadi.

Mohd Irwan Rizal berkata rundingan akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga semua tunggakan diselesaikan sepenuhnya sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.

Mengulas persiapan pasukan, beliau berkata KDN FC memperuntukkan RM6 juta untuk pengurusan pasukan musim ini termasuk keperluan pemain, jurulatih, pegawai dan aspek pengurusan lain.

“Daripada segi pemain, kami telah menawarkan kontrak kepada beberapa pemain import dan tempatan. Bagi jawatan Ketua Jurulatih pula, kita akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat, mungkin minggu hadapan.

“Pemain import yang bakal menyertai KDN FC musim ini ada yang berpengalaman beraksi dalam Liga Malaysia, manakala sebahagian lagi belum pernah bermain di sini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan