BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Tumpu Jadi Hab Aeroangkasa Dan Pembinaan Kapal Serantau

20/06/2025 02:09 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Malaysia mengukuhkan sasarannya untuk menjadi hab aeroangkasa dan pembinaan kapal serantau dengan memanfaatkan pelaburan bernilai tinggi, keupayaan teknikal dan kedudukan geostrategik negara untuk meningkatkan profil perindustriannya bagi dekad akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata negara berada di kedudukan baik untuk menjadi pangkalan aeroangkasa ASEAN yang berdaya saing, disokong oleh kekuatannya dalam kejuruteraan, perkhidmatan penyelenggaraan dan penyepaduan sistem.

“Di MIDA, strategi kami bergantung pada pelaburan berkualiti tinggi, memupuk perkongsian global tempatan dan memajukan pemboleh utama seperti pendigitalan dan kemampanan industri,” katanya menerusi satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Setakat ini, sektor aeroangkasa Malaysia meraih pelaburan diluluskan berjumlah RM26 bilion yang mewujudkan lebih 18,000 peluang pekerjaan sekali gus mencerminkan kehadiran kukuh negara dalam rantaian nilai aeroangkasa serantau. 

Pada 2024 dan suku pertama 2025, sektor itu menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM1.5 bilion, dengan 71.3 peratus daripadanya disumbang sumber asing manakala baki selebihnya daripada modal tempatan.

Projek ini dijangka mencipta lebih 550 pekerjaan mahir, kebanyakannya dalam pembuatan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa, terutamanya dalam kalangan pembekal Tahap 1 dan Tahap 2.

Malaysia telahpun menjadi pilihan Boeing untuk menempatkan satu-satunya kemudahan pembuatan milik penuhnya di Asia Tenggara, Boeing Composites Malaysia (BCM), yang mengeluarkan bahagian komposit untuk semua pesawat komersial syarikat itu.

Presiden Boeing bagi Asia Tenggara, Penny Burtt menganggap Malaysia sebagai rakan kongsi bernilai syarikat itu dalam perniagaan penerbangan komersial, pertahanan dan perkhidmatan.

Beliau berkata usaha Boeing di Malaysia termasuk memajukan keselamatan penerbangan, menyokong inisiatif kemampanan, mengukuhkan rantaian bekalan, menyantuni komuniti dan melatih tenaga kerja aeroangkasa bagi masa depan.

“Kehadiran Boeing selama 78 tahun di Malaysia turut membuktikan komitmennya terhadap negara ini dan rantau Asia Tenggara secara meluas. BCM di Kedah yang juga kemudahan pengeluaran pertama milik penuh Boeing di Asia Tenggara, turut memanfaatkan keupayaan negara yang kian berkembang serta tenaga kerjanya.

“Pada masa ini, BCM yang kesemua pekerjanya rakyat tempatan, membekalkan produk-produk komposit selain pemasangan bagi semua pesawat komersial Boeing,” katanya.

 

Anjakan Strategik Kepada Maritim

Walaupun aeroangkasa kekal menjadi keutamaan, Sikh Shamsul berkata aspirasi Malaysia melangkaui sempadan dan merujuk kepada sektor pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR) sebagai satu bidang baharu yang pesat berkembang, disokong oleh pelaburan secara bersasar dan mandat kemampanan.

“Malaysia perlu sentiasa berhati-hati terhadap persaingan yang kian ketara daripada limbungan dengan kos lebih rendah di negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia,” katanya.

Menurutnya, ini memandangkan daya saing kos semata-mata tidak memadai dalam menjamin kedudukan negara bagi jangka panjang.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan terhadap alat automasi asing dengan menumpukan pembangunan pembuatan robotik tempatan yang mampu membangunkan sistem integrasi automasi secara menyeluruh bagi meningkatkan produktiviti dalam landskap pembuatan SBSR.

Pengarah Urusah Kumpulan Muhibbah Engineering (M) Bhd Mac Ngan Boon pula menyifatkan ciri-ciri geografi Malaysia memberi kelebihan semula jadi untuk syarikat itu -- lebih 4,600 kilometer perairan dan keperluan domestik bagi pelbagai kapal serta strategi.

“Inovasi adalah keutamaan operasi syarikat. Kami telah menerimaguna teknologi maju seperti pemotongan laser kawalan berangka komputer (CNC), prototaip kapal maya dan simulasi masa nyata.

“Peralatan ini meningkatkan ketepatan reka bentuk, mengurangkan kos pengeluaran dan dapat melonjakkan kecekapan secara menyeuruh.

“Kami juga mengambil langkah proaktif ke arah lestari, termasuk meneroka reka bentuk kapal hijau (mesra alam) yang menggunakan tenaga solar dan elektrik. Inisiatif ini misalnya, mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk membina kapal yang memenuhi permintaan pasaran serta keperluan alam sekitar,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata Kuantan Maritime Hub yang akan dibangunkan oleh kumpulan itu akan menjadi pemangkin perubahan dengan mengetengahkan limbungan kapal lebih besar, kemudahan pertahanan dan latihan serta rakan dan pembekal maritim.

“Ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengukuhkan ekosistem maritim dan meletakkan Malaysia sebagai bakal peneraju sektor itu di masa depan.

“Kami juga berharap Malaysia dapat memberi penekanan kukuh ke atas pembangunan seluruh industri maritim, daripada mewujudkan institusi maritim khusus kepada pemupukan bakat diperlukan serta membangunkan jaringan rantaian bekalan serta vendor yang mantap,” katanya.

 

Pembangunan Maritim Utama Malaysia Mula Memperlihatkan Hala Tuju

Malaysia kini sedang giat membangunkan projek mercu seperti Bandar Perindustrian Maritim Lumut, Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi dan Hab Maritim Kuantan bagi mengubah landskap sektor maritimnya daripada pembinaan kapal secara tradisional kepada pendekatan berasaskan teknologi tinggi.

Teknologi tersebut menyepadukan elemen logistik pintar, bagi meningkatkan daya saing, menjana peluang pekerjaan dan menggalakkan amalan kemampanan.

Setakat ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan pelaburan bernilai RM1 bilion dalam sektor pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR).

Dalam suku pertama 2025 sahaja, sektor ini berjaya menarik pelaburan tambahan sebanyak RM574.8 juta, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap prospek jangka panjang industri ini.

Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh permintaan dalam segmen perkapalan rekreasi dan keselamatan, dengan limbungan kapal Malaysia kini mampu menghasilkan kapal layar berspesifikasi tinggi dan bot berkaitan keselamatan. 

Produk buatan Malaysia telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Australia, Eropah, Nigeria dan Brazil.

 

Strategi Serampang Dua Mata

Dengan aspirasi serentak dalam sektor aeroangkasa dan maritim, Malaysia kini memberi isyarat jelas bahawa hala tuju perindustrian negara sedang berubah daripada model berasaskan kos rendah kepada pendekatan kejuruteraan berteraskan nilai dan kepimpinan eksport yang strategik.

Ketika dunia sedang menyusun semula rantaian bekalannya disebabkan kejutan geopolitik dan pengasingan serantau, Malaysia perlu merancang semula peranannya sebagai penyepadu sistem yang boleh dipercayai. 

Perubahan ini menuntut syarikat tempatan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam aspek reka bentuk, integrasi dan perkhidmatan nilai tambah, khususnya dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), sistem kapal laut, serta pengilangan komposit berteknologi tinggi.

Dalam sektor aeroangkasa, Malaysia perlu mempercepat usaha membina keupayaan kedaulatan teknologi, terutamanya dalam bidang struktur komposit, avionik, dan teknologi penerbangan mampan.

Ini memerlukan integrasi yang lebih mantap antara Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Pengeluar Peralatan Asal (OEM), bukan hanya sebagai subkontraktor, tetapi sebagai rakan pembangunan bersama dan pemilik harta intelek.

Justeru, untuk Malaysia mencapai autonomi strategik yang diingini, ia perlu menyesuaikan diri dengan perubahan geopolitik global, termasuk membentuk semula pakatan perdagangan, menerima teknologi dwi-guna, dan penyumberan luar menerusi kerjasama dengan rakan kongsi di negara-negara jiran.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan