BELANJAWAN 2025 > BERITA

AkzoNobel Buka Pusat R&D Baharu Di Nilai

20/06/2025 11:37 AM

SEREMBAN, 19 Jun (Bernama) -- AkzoNobel melancarkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) terbaharunya di Nilai, sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap inovasi, kelestarian dan pertumbuhan di rantau Asia Tenggara.

Kemudahan tersebut yang memberi tumpuan kepada teknologi cat hiasan lanjutan dan penyelesaian mesra alam ini berfungsi sebagai hab inovasi serantau syarikat, dengan mendorong aktiviti R&D ke pasaran utama dan mempercepat pembangunan produk yang relevan dengan keperluan pasaran.

Pengarah unit perniagaan cat hiasan ASEAN My Lan Nguyen berkata pusat baharu ini merupakan pengembangan terkini kepada rangkaian global pusat khusus AkzoNobel.

"Ia melengkapi hab sedia ada di Poland, Dubai, Felling dan Slough di United Kingdom serta di Belanda,” katanya, sambil menambah pusat itu turut mendapat manfaat daripada integrasi dengan rangkaian lebih 70 makmal R&D AkzoNobel di seluruh dunia.

Beliau berkata pembukaan pusat ini merupakan langkah penting dalam usaha syarikat mentransformasi pendekatan inovasi di Asia Tenggara.

 "Pusat ini membolehkan kami memanfaatkan tenaga kerja tempatan dan pandangan pasaran, sambil melancarkan perhubungan dengan rangkaian R&D global kami untuk menghasilkan penyelesaian yang lebih bijak dan lestari di seluruh rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

My Lan berkata objektif utama syarikat adalah untuk mempertingkat kerjasama dalaman, mempercepat kitaran inovasi serta menyesuaikan pembangunan produk dengan lebih efektif mengikut keperluan pasaran tempatan.

Sementara itu, Pengarah R&D bagi cat hiasan Asia Tenggara dan Asia Selatan Gary Jefferson berkata pusat R&D baharu di Malaysia ini membolehkan mereka bekerjasama lebih rapat dengan pasukan operasi dan rakan industri bagi mencipta penyelesaian yang bersesuaian dengan konteks tempatan.

“Langkah ini meningkatkan keupayaan kami untuk merealisasikan pandangan pengguna kepada inovasi lestari sebenar dengan lebih pantas dan berkesan berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata pusat tersebut dilengkapi dengan peralatan analisis canggih dan sistem ujian robotik automatik sepenuhnya, yang mampu menjalankan eksperimen berkeupayaan tinggi serta pemformulasian berasaskan data untuk menghasilkan produk berprestasi tinggi dan mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan