BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ruang Penjanaan Hasil Masih Sempit, Peluasan Cukai Diperlukan Untuk Kelanjutan Fiskal - PMO

19/06/2025 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Ruang penjanaan hasil masih sempit dan peluasan cukai diperlukan demi memastikan kelanjutan fiskal negara, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Malaysia merupakan antara negara dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) paling rendah di dunia iaitu sekitar 12 peratus.

Namun beliau menegaskan bahawa prinsip utama kerajaan adalah jelas iaitu beban tidak akan ditanggung oleh rakyat terbanyak, sebaliknya hasil cukai digunakan semula untuk program yang prorakyat termasuk RM13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memanfaatkan sembilan juta penerima.

Selain itu, sebanyak RM400 juta diperuntukkan untuk membaik pulih klinik-klinik usang dan lebih RM600 juta untuk membaiki lebih 8,000 tandas sekolah yang memberi manfaat kepada lebih lima juta pelajar.

“Inilah asas sebenar kepada setiap dasar Kerajaan MADANI iaitu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, dengan pendekatan yang bertanggungjawab dan menyeluruh,” katanya pada Taklimat Harian PMO yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Pada 9 Jun lepas, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025.

Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan asas harian manakala kadar sama ada lima peratus atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan tertentu.

Sementara itu, skop cukai perkhidmatan akan diperluaskan merangkumi enam perkhidmatan baharu seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican dilaporkan berkata jumlah kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diunjur bertambah sebanyak RM5 bilion bagi 2025 dan RM10 bilion pada 2026 selepas pelaksanaan semakan dan peluasan skop yang bermula 1 Julai ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan