BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ubah Pendekatan Pembelajaran, Tarik Kembali Pelajar Ke Bidang Perubatan

19/06/2025 11:09 AM
From: Balkish Awang

Suatu ketika dulu, kerjaya sebagai doktor dilihat sebagai antara pencapaian tertinggi seorang pelajar sehinggakan tercetus polemik apabila tempat yang ditawarkan oleh universiti tempatan tidak dapat menampung permohonan pelajar untuk menyambung pendidikan dalam bidang perubatan.

Malah, ramai ibu bapa yang sanggup berhabis menghantar anak mereka melanjutkan pengajian dalam bidang itu di luar negara selepas gagal mendapat tempat di institusi tempatan.

Zaman beredar, kini bidang itu semakin dijauhi dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik oleh media sebagai menyeru pelajar yang memperoleh keputusan A penuh dalam Sijil Pelajaran Malaysia agar menyambung pendidikan dalam bidang sains perubatan di universiti.

Malah, menteri itu juga meluahkan kebimbangan dengan trend penurunan minat pelajar terhadap aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang turut berisiko memberi impak kepada sektor perubatan negara.

   

SEMAKIN DIPINGGIRKAN 

 

Penurunan minat generasi muda terhadap bidang perubatan ini diakui oleh Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin, pensyarah fisiologi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

Menurut beliau, anak muda sekarang lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan sangat celik tentang pilihan kerjaya kerana mereka membesar dalam persekitaran berbeza berbanding generasi terdahulu.

"Mereka lebih kritikal dalam menilai sesuatu bidang, membandingkan kerjaya dengan keseimbangan hidup. Kalau dulu bidang perubatan dianggap kemuncak kejayaan akademik, kini bidang itu dilihat sebagai laluan yang panjang, memenatkan dan kurang fleksibel berbanding bidang baharu seperti teknologi, keusahawanan, sains data atau kecerdasan buatan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini. 

pic-4

Di samping itu katanya, naratif media sosial yang memfokuskan pada kepayahan, waktu kerja yang panjang serta ganjaran tidak setimpal, membuatkan ramai pelajar cemerlang menjauhkan diri daripada bidang perubatan.

Keadaan itu juga katanya disebabkan oleh persepsi masyarakat masa kini yang lebih memandang pada saiz pendapatan dan bukan impak sebenar sesebuah pekerjaan.

"Hari ini, hasrat pelajar untuk menceburi kerjaya sebagai seorang doktor sering kali dimomokkan dengan beban akademik  serta pengorbanan peribadi yang besar. Sementelah pada masa sama, media sosial turut mempromosikan kerjaya lain yang kelihatan lebih bebas, ekspresif serta kurang tekanan,” ujarnya.  

“Pelbagai isu dalam sistem perkhidmatan kesihatan negara hari ini, daripada perjawatan kontrak yang tidak stabil kepada beban kerja yang luar biasa serta budaya kerja yang kadangkala tidak sihat seperti insiden buli atau tekanan tanpa sokongan, telah menjadi cermin yang ditatap oleh generasi muda sebelum mereka membuat keputusan melangkah masuk ke dalam bidang ini," tambah beliau lagi.

Dr Norsham Juliana turut tidak menolak daya tarikan bidang perubatan semakin berkurangan disebabkan oleh kerjaya itu sendiri yang dijatuhkan hukuman “bersalah sebelum terbukti bersalah” dalam konteks rawatan kepada pesakit.  

Memetik ungkapan dalam filem Spider-Man “With great power comes great responsibility” (kuasa hadir bersama-sama dengan tanggungjawab berat), beliau berkata setiap keputusan yang diambil mendedahkan doktor kepada risiko.

“Setiap tindakan yang dibuat dalam menyelamatkan pesakit, walau sekecil mana, membuka ruang kepada akauntabiliti. Namun saya yakin para doktor (sedia ada) tetap tabah," katanya yang melihat aspek itu turut menyumbang kepada kekurangan minat generasi muda sekarang pada bidang perubatan. 

 

KEMBALIKAN MAKNA SEBENAR

 

Bagi meningkatkan semula daya tarikan profesion itu, Dr Norsham Juliana mengesyorkan agar dari semasa ke semasa pengamal dan juga pelajar perubatan diingatkan nilai sebenar profesion mereka, iaitu kemuliaan dalam menyelamatkan nyawa.

Beliau berpendapat untuk mengembalikan zaman kegemilangan bidang kedoktoran, pendekatan yang lebih menyeluruh perlu digerakkan dengan mewujudkan semula kegembiraan dalam sistem pembelajaran.

"Saya yakin generasi muda bukan tidak berani berkorban tetapi mereka mahu pengorbanan itu dihargai dan disokong oleh sistem yang adil. Inilah masanya untuk semua pihak yang terlibat mencorak profesion ini, khususnya pakar dan tokoh-tokoh besar bidang perubatan, tampil dan melakukan perubahan. 

"Kembalikan kekuatan asal bidang ini, iaitu semangat untuk menyembuh.  Jadi,  hari ini kita perlu terlebih dahulu ‘memulihkan penyembuh muda’, pulihkan mental, semangat dan persekitaran kerja mereka. Perubahan bukan sesuatu yang mustahil... ia bermula dengan kesedaran, keberanian dan kerjasama semua," katanya.

pic-2

Beliau berpendapat kurikulum perubatan hari ini boleh menerapkan suasana belajar yang menyeronokkan dan berinovasi tanpa menggugat keaslian ilmu perubatan.

“Pembelajaran kreatif seperti simulasi, realiti maya, gamifikasi serta pengajaran berasaskan cerita dan seni visual bukan sahaja menguatkan pemahaman malah memupuk emosi positif yang sangat penting untuk kelangsungan minat pelajar," kata beliau.

Malah, katanya, kajian membuktikan bahawa pembelajaran yang mencetuskan emosi positif membantu daya ingatan, penyelesaian masalah dan membentuk empati selain mempamerkan ciri-ciri utama seorang doktor yang hebat. 

 

UBAH CORAK PENDEKATAN

 

Mengambil contoh inisiatif hasil kerjasama beberapa fakulti perubatan universiti awam, beliau berkata program   "Physiology Drama & Art Challenge 2025" yang bakal diadakan pada Oktober depan itu membolehkan pelajar bidang perubatan dan sains kesihatan menonjolkan kreativiti mereka melalui reka bentuk komik, poster digital, video atau teater.

“Mengambil tema fungsi tubuh, pelajar boleh menggunakan platform ini untuk menzahirkan kreativiti mereka, sekali gus menjadi contoh bagaimana kreativiti boleh disatukan dengan sains. Harapan kita ialah untuk melahirkan doktor yang bukan sahaja cemerlang dalam teori tetapi juga berjiwa seni, berfikiran terbuka dan berempati tinggi," katanya. 

Melibatkan USIM, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, program itu dijadualkan pada 11 Okt di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM.

"Menjadi seorang doktor yang baik tidak diukur dengan kejayaan memperoleh markah tertinggi (semasa belajar), tetapi pelaksanaan tanggungjawab yang dilakukan dengan keikhlasan, dipupuk menerusi kreativiti,” katanya.

pic-3

Di samping itu, beliau berkata semangat cintakan bidang perubatan harus disemai di peringkat awal dengan pendedahan di sekolah menengah, bagi membolehkan pelajar lebih memahami kerjaya tersebut.

"Jika mereka melihat kerjaya ini bukan sekadar beban tetapi satu jalan hidup yang memberi erti, mereka akan kembali memilihnya dengan hati yang terbuka.

“Namun usaha ini menuntut kesediaan semua pihak untuk membentuk laluan kerjaya yang lebih menarik dan berdaya saing dalam bidang ini agar naratif yang dapat kita sampaikan kepada para pelajar di peringkat sekolah jadi lebih meyakinkan dan memupuk minat mereka," katanya,

 

BIDANG LAIN LEBIH MUDAH

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Neurosains Malaysia yang juga pakar neurologi Dr Ahmad Shahir Mawardi berpandangan antara punca anak muda kini kurang meminati bidang perubatan disebabkan oleh ada jurusan lain yang lebih mudah dan lebih “glamor”  berbanding pekerjaan sebagai doktor. 

Menurut beliau, bidang seperti teknologi, kejuruteraan, malah ekonomi gig dan juga pempengaruh media sosial dilihat menawarkan gaji yang tidak kurang lumayannya tanpa jerih perih yang perlu diharungi oleh seorang penuntut perubatan selain terikat hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

"Pelajar perubatan perlu menamatkan pengajian dalam tempoh lima ke tujuh tahun dengan kurikulum mencabar, selain kos pengajian yang sememangnya cukup tinggi.

"Ditambah pula cabaran semasa latihan ‘housemanship’ atau Latihan Siswazah Perubatan yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi. Di samping itu, doktor pelatih yang telah tamat latihan perlu bersaing untuk mendapatkan jawatan doktor tetap," katanya yang telah 21 tahun bergelar doktor perubatan.

Tegas beliau, selagi isu-isu berbangkit seperti  perjawatan kontrak, beban tugas dan lain-lain tidak ditangani secara tuntas, sektor perubatan akan terus dipandang sepi oleh generasi muda.

pic-5

Malah, beliau tidak menolak sistem perkhidmatan kesihatan negara akan terus kehilangan pakar dan pegawai perubatan sedia ada jika beberapa isu tertangguh tidak diselesaikan.

"Banyak doktor yang meninggalkan perkhidmatan awam kerana insentif lebih baik dan jaminan kerja terutamanya tentang isu perjawatan. Sebagai contoh, kerja di Singapura menawarkan insentif yang lebih lumayan dan waktu kerja lebih fleksibel dengan beban kerja yang tidak membebankan,” katanya yang bagaimanapun melihat isu buli di hospital sebagai insiden terpencil.

Bagi memupuk minat dalam jurusan perubatan sedari kecil, Dr Ahmad Shahir berkata ia perlu diasah dengan niat yang betul.

Saran beliau, pendidikan awal perlu dilaksanakan dengan memberi pendedahan tentang  kerjaya seorang doktor, sesi lawatan dan 'short attachment' yang dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk memilih jurusan perubatan.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Shahir berkata pentingnya bidang kedoktoran terus diwarisi oleh generasi seterusnya kerana jumlah rakyat yang semakin meningkat di samping pertambahan warga tua berikutan peningkatan jangka hayat penduduk, iaitu 73.4 tahun bagi lelaki dan 78.0 untuk wanita. 

"Apabila lebih ramai penduduk Malaysia dalam kalangan warga emas, maka lebih banyak penyakit dan keperluan perubatan juga dari segi tenaga kepakaran akan meningkat. Jika perkara ini tidak ditangani dari awal, akan berlaku kekurangan dari segi perkhdmatan kesihatan negara yang serius. 

"Harapan saya untuk pihak berwajib, sektor kesihatan merupakan teras sesebuah negara. Isu berkaitan perubatan seperti perjawatan, beban tugas berlebihan seperti yang dilaporkan dalam media massa harus dibahaskan di Parlimen dan perlu ditangani menerusi pelan jangka masa pendek dan panjang demi masa depan Malaysia yang kita cintai," katanya.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan