BELANJAWAN 2025 > BERITA

Thailand: Bhumjaithai Tarik Diri Daripada Kerajaan Campuran, Kecam Tindakan Paetongtarn

19/06/2025 12:24 AM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 18 Jun (Bernama) -- Parti Bhumjaithai Thailand mengumumkan bahawa parti itu menarik diri daripada kerajaan campuran pada Rabu susulan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan yang didakwa menjejaskan kedaulatan negara itu.

Bhumjaithai, parti kedua terbesar dalam gabungan pemerintah, menyatakan bahawa kesemua lapan menteri daripada parti itu telah mengemukakan surat peletakan jawatan mereka, berkuat kuasa 19 Jun.

Parti itu menuduh Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra melakukan “tindakan yang merosakkan” susulan rakaman perbualan telefon yang bocor pada 15 Jun antara beliau dengan Presiden Senat Kemboja, Hun Sen.

Menurut parti itu, panggilan yang dilaporkan membincangkan pertikaian sempadan yang berterusan, termasuk kenyataan di mana Perdana Menteri didakwa menyalahkan angkatan tenteranya sendiri atas “kesilapan komunikasi”.

Bhumjaithai menyifatkan perkara itu sebagai satu penghinaan terhadap maruah Thailand, kebanggaan negara, rakyat serta angkatan tenteranya.

“Parti Bhumjaithai ingin memaklumkan bahawa Jawatankuasa Eksekutif Parti telah bermesyuarat untuk meneliti perkara ini dan memutuskan untuk Parti Bhumjaithai menarik diri daripada kerajaan campuran.

“Sehubungan itu, semua menteri daripada Parti Bhumjaithai telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa mulai 19 Jun 2025,” menurut parti itu dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu.

Parti itu turut menyeru Perdana Menteri Paetongtarn agar bertanggungjawab atas tindakan yang didakwa menjejaskan kepentingan negara Thailand.

“Parti Bhumjaithai sedia bekerjasama dengan rakyat Thailand, menyokong angkatan tentera, dan membantu semua petugas barisan hadapan dalam mempertahankan kedaulatan, integriti wilayah dan kepentingan negara Thailand dengan segala cara yang mungkin,” katanya.

Parti Bhumjaithai memegang 69 kerusi Parlimen dan mengetuai empat portfolio kementerian — Menteri Dalam Negeri, Menteri Buruh, Menteri Pendidikan serta Menteri Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi.

Parti itu juga mengisi empat jawatan timbalan menteri, merangkumi Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri (dua jawatan) dan Kementerian Perdagangan.

Berikutan penarikan diri Bhumjaithai, gabungan 13 parti pimpinan Pheu Thai kini mengekalkan 292 kerusi di Parlimen manakala blok pembangkang yang diketuai Parti Rakyat kini memegang 208 kerusi, termasuk ahli parlimen Bhumjaithai.

Walaupun Bhumjaithai menarik diri, kerajaan campuran masih menguasai majoriti dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 500 kerusi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan