BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Ketengah Pembaharuan Penjagaan Kesihatan, Kewangan Di Simposium Sasana 2025

18/06/2025 09:45 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Simposium Sasana 2025 Bank Negara Malaysia (BNM) yang berakhir hari ini, menjadi pentas bagi penegasan keperluan semasa dan mendadak untuk tindakan bersama  memangkin pembaharuan struktur demi melonjakkan daya tahan Malaysia dalam jangka panjang.

Perkara itu ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ucaptama beliau mengenai agenda pembaharuan MADANI yang berteraskan pendekatan seluruh negara ketika Malaysia mengutamakan lima bidang kritikal : kemampanan fiskal dan tadbir urus, penstrukturan semula subsidi, pembaharuan cukai, pemerkasaan modal insan dan integriti institusi.

Acara dua hari yang bertemakan “Structural Reforms: Building a Resilient Malaysia” (Pembaharuan Struktur: Membina Malaysia Berdaya Tahan) itu menghimpunkan kalangan pembuat dasar, pemimpin industri, ahli akademik serta wakil masyarakat awam di Sasana Kijang di sini.

Agenda perbincangan menumpukan isu-isu ekonomi dan kewangan utama menerusi 23 sesi panel, sesi perkongsian dan bengkel dengan topik menyentuh aset digital, inflasi dan kos sara hidup, jaringan keselamatan sosial, kos perubatan dan penjagaan kesihatan serta kewangan iklim.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata sesi itu membabitkan pelbagai pembaharuan dan inisiatif yang sedang diusahakan negara yang bertujuan menyuntik perbezaan lebih bermanfaat untuk rakyat.

Ini penting memandangkan pembaharuan struktur bukanlah sesuatu yang boleh ditangani institusi atau individu secara sendirian, sebaliknya memerlukan pendekatan keseluruhan negara, katanya.

Antara bidang yang memerlukan pembaharuan adalah penjagaan kesihatan dan susulan itu, katanya, BNM bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan sedang berusaha bagi melaksanakan dikenali sebagai RESET bagi menangani inflasi perubatan yang tinggi.

Aspek itu turut disentuh oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican yang berharap jawatankuasa terbabit dapat memainkan peranan dalam menyelesaikan isu-isu khusus yang penting agar kalangan penyedia insurans, pihak hospital dan penggubal dasar dapat melaras usaha bagi memastikan ketelusan dan kemampuan berkaitan.

“Kita sememangnya mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang boleh dibanggakan dan walaupun berdepan cabaran, masih ada kebaikan lain dalam sistem itu. Kita mahu memastikan kelangsungan pertumbuhan dan kemampanan dan adalah diharapkan jawatankuasa ini dapat berperanan meleraikan isu ini,” katanya pada sesi panel bertajuk Peningkatan Kos, Kepentingan : Melonjakkan Pembaharuan Bagi Menangai Inflasi Perubatan, hari ini.

Beliau juga menyifatkan program Rakan KKM yang diluluskan oleh Jemaah Menteri baru-baru ini sebagai langkah penting di bawah inisiatif RESET dan yakin elemen penting berkaitan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Menyentuh langkah-langkah fiskal, Johan berkata Belanjawan 2025 menyaksikan peningkatan hampir 10 peratus kepada RM45 bilion berbanding RM41 bilion sebelum ini.

Justeru, semakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan peluasan skopnya adalah sebahagian daripada keperluan bagi pembaharuan fiskal untuk meluaskan asas cukai.

“Malaysia masih merupakan antara nisbah cukai perlu dibayar yang terendah di rantau ini. Kita perlu meningkatkan hasil bagi memenuhi keperluan masyarakat menua, khususnya dalam memastikan Malaysia mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang dibiaya secukupnya,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar menekankan keperluan mendesak melaksanakan pembaharuan struktur bagi menangani pertumbuhan gaji yang mendatar selain memastikan pendapatan rakyat adalah sejajar dengan kenaikan harga.

Malah, tegasnya, kawalan inflasi semata-mata adalah tidak memadai untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup dan Malaysia perlu menumpukan usaha penciptaan pekerjaan berpendapatan dan berkemahiran tinggi.

Sehubungan itu, katanya, ini memerlukan usaha menarik pelaburan yang tepat dalam membentuk pekerjaan berkemahiran tinggi dan menjurus kepada gaji lebih tinggi.

Topik berkaitan pasaran aset digital turut dikongsi pada simposium itu yang menyaksikan Maybank Securities Singapura menyifatkan pasaran itu sedang berkembang pesat di peringkat global, didorong oleh peningkatan minat institusi, inovasi teknologi dan rangka kerja peraturan yang semakin jelas.

Aset digital kini melangkaui mata wang kripto yang turut merangkumi tokenisasi, mata wang digital bank pusat dan infrastruktur penyelesaian, sekali gus membayangkan transformasi ekosistem kewangan yang lebih mendalam.

Sudah pasti, antara sorotan utama Simposium Sasana 2025 adalah pelancaran Hab Inovasi Aset Digital oleh Perdana Menteri yang bertujuan merangsang inovasi kewangan dalam persekitaran terkawal dan membolehkan pemohon menguji idea baharu selain memberi input dalam memperhalusi kerangka pengawaseliaan dan keselamatan.

Simposium itu turut menyaksikan pelancaran Makmal Inovasi Kewangan Iklim oleh Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan