BELANJAWAN 2025 > BERITA

LHDN Terima 328 Juta e-Invois Daripada Hampir 35,000 Pembayar Cukai Sejak Ogos 2024

12/06/2025 04:28 PM

GEORGE TOWN, 12 Jun (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima 328 juta e-Invois daripada pembayar cukai sehingga semalam sejak sistem itu dilancarkan pada Ogos 2024.

Pengarah Bahagian e-Invois Jabatan Operasi Cukai LHDN Dr Rasyidah Che Rosli berkata hampir 35,000 pembayar cukai telah menghantar e-Invois termasuk mereka yang mengambil inisiatif secara sukarela sebelum fasa mandatori masing-masing bermula.

“Ini menunjukkan sambutan yang positif daripada pembayar cukai di bawah fasa pertama serta mereka yang termasuk dalam fasa kedua dan ketiga yang melaksanakan e-Invois secara sukarela.

"Rekod digital menerusi sistem e-Invois membantu mengelakkan kehilangan atau tersalah simpan dokumen dan pada masa depan akan diintegrasikan secara terus ke dalam borang nyata cukai bagi meningkatkan kecekapan dan ketepatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada acara CTOS SME Biz Day 2025 Pulau Pinang di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo dan dihadiri lebih 1,300 peserta termasuk wakil kerajaan, pakar industri dan tokoh korporat ternama.

Dr Rasyidah turut memaklumkan bahawa LHDN memberikan tempoh kelonggaran selama enam bulan bagi setiap fasa pelaksanaan, khususnya untuk pembayar cukai yang mengeluarkan e-Invois  yang disatukan.

Beliau berkata LHDN turut menyokong proses peralihan ini dengan menyediakan garis panduan dan soalan lazim di laman mikro e-Invois agensi itu.

"LHDN juga menyediakan mekanisme penghantaran e-Invois melalui API (Application Programming Interface) yang disepadukan dengan MyInvois, membolehkan pembayar cukai sama ada membangunkan sistem mereka sendiri atau menggunakan perkhidmatan penyedia teknologi," katanya.

Pembayar cukai juga boleh menghantar e-Invois secara percuma menerusi Portal MyInvois, dan boleh merujuk laman mikro LHDN untuk panduan lanjut.

Pelaksanaan e-Invois bermula 1 Ogos, 2024 bagi syarikat dengan jualan tahunan melebihi RM100 juta. Fasa kedua bermula 1 Jan, 2025 bagi syarikat dengan jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta.

Pada 5 Jun, LHDN mengumumkan bahawa pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM500,000 akan dikecualikan daripada sistem e-Invois buat masa ini.

Sementara itu, pelaksanaan untuk mereka yang berpendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta ditangguhkan ke 1 Jan, 2026, manakala mereka yang berpendapatan sehingga RM1 juta akan bermula pada 1 Julai, 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan